Subway di Pulau Pinang terima sijil halal

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNSebanyak 11 cawangan rangkaian restoran makanan segera berkonsepkan roti sandwich, Subway di seluruh negeri Pulau Pinang menerima status halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, Kerajaan Negeri sedar tentang kepentingan sijil halal ekoran berkembangnya industri makanan.

“Sijil halal adalah penting sebagai penghubung dengan pelanggan. Malah, ianya adalah langkah berkesan untuk menarik lebih ramai pelanggan beragama Islam,” ujarnya semasa Majlis Penyerahan Sijil Halal kepada Restoran Subway baru-baru ini di sini.\

ABDUL Malik Abul Kassim (kiri sekali) dan Sean Lim (tiga dari kanan) melekatkan tanda halal di hadapan premis Subway Cawangan Plaza Gurney sambil diperhatikan Faizal Ibrahim (dua dari kiri) baru-baru ini di sini
ABDUL Malik Abul Kassim (kiri
sekali) dan Sean Lim (tiga dari kanan)
melekatkan tanda halal di hadapan
premis Subway Cawangan Plaza
Gurney sambil diperhatikan Faizal
Ibrahim (dua dari kiri) baru-baru ini di
sini

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Faizal Ibrahim dan Agen Pembangunan Subway Wilayah Utara, Sean Lim.

Mengulas lanjut, Malik berkata, melalui Undang-undang Perihal Dagangan 2012 yang telah diluluskan di Parlimen baru-baru ini, Kerajaan hanya membenarkan satu logo halal digunapakai dalam negara iaitu yang dikeluarkan oleh Jakim.

“Kita tidak boleh memaksa setiap pengusaha untuk memohon sijil halal kerana ia terpulang kepada pemilik. Namun, jika pengusaha telah memperoleh status halal tersebut, mereka (pengusaha) perlulah sentiasa mematuhi garis panduan ditetapkan,’’ jelas beliau.

Abdul Malik memberitahu, sehingga kini, sebanyak 356 permohonan halal telah diterima dan JHEAIPP sedang berusaha untuk meluluskan permohonan tersebut.

“Jumlah permohonan tersebut termasuk premis makanan, syarikat pengeluar produk makanan, restauran dan hotel.

“Proses ini perlu melalui prosedur pemeriksaan terlebih dahulu dan mengambil masa hingga sebulan sebelum status halal dikeluarkan,” ujarnya.