SUKMA 2026: Bantai Wilayah 3-0, ping pong lelaki Pulau Pinang raih emas

img 6711 AKSI kelincahan Richard Yap (depan) dan Sia Zheng Xun (belakang) semasa saingan akhir Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, menentang Wilayah Persekutuan sebelum mencetak kemenangan pingat emas bagi acara berpasukan ping pong lelaki di sini menjelang tengah hari tadi (20 Ogos 2026).

KLANG, SELANGOR – Penantian skuad ping pong lelaki Pulau Pinang berbaloi apabila mereka mempamerkan aksi cemerlang untuk menumpaskan Wilayah Persekutuan 3-0 pada aksi final Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Kemenangan bergaya di Dewan Konvensyen Bandar Bukit Raja, tengah hari tadi, sekali gus merealisasikan sasaran negeri untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas.

Barisan pemain yang menyumbang kepada kejayaan tersebut terdiri daripada Leonard Lai Yong Han, Lai Yong Ren, Richard Yap, Sia Zheng Xun, Leong Zheng Yang dan Ooi Yu Cong.

Prestasi konsisten serta keserasian yang ditampilkan sepanjang kejohanan akhirnya membuahkan hasil buat kontinjen Pulau Mutiara.

img 6704
LI Chao

Ketua Jurulatih Pulau Pinang, Li Chao, yang ditemui kemudian, tidak dapat menyembunyikan rasa bangga dan gembira atas pencapaian anak buahnya.

Dalam sidang media ringkas bersama Jurulatih Ping Pong Wanita, Lee Ing Jiang, Li Chao mengesahkan sasaran Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) berjaya dicapai.

“Ya, kita menang pada perlawanan akhir 3-0 menentang Wilayah Persekutuan pagi tadi kerana persembahan barisan pemain negeri sangat baik.

“Sasaran asal kami sebenarnya ialah satu pingat emas, jadi kami telah pun mencapai sasaran tersebut,” jelas Li Chao di sini hari ini.

img 6709
GAMBAR kenangan sekalian barisan atlet berpasukan lelaki negeri bersama-sama Chef de Mission Kontinjen Negeri, Joseph Ng Soon Siang (depan) sesuai acara penyampaian pingat emas di sini sebentar tadi.

Walaupun sasaran awal berjaya dicapai, beliau berkata, perjuangan skuad ping pong Pulau Pinang masih belum berakhir.

Li Chao menegaskan bahawa pasukannya kini mengalihkan tumpuan kepada acara lain dengan harapan dapat menambah koleksi pingat negeri dalam baki saingan SUKMA 2026 sebelum kejohanan berakhir pada 23 Ogos.

“Untuk acara perseorangan, beregu dan beregu campuran, kita masih mempunyai peluang.

“Kita akan terus berusaha sehabis baik dengan harapan dapat meraih lebih banyak pingat, atau mungkin lebih banyak pingat emas, sama ada satu atau dua lagi.

“Apa-apa pun, kita akan berjuang selangkah demi selangkah demi pasukan Pulau Pinang,” tekadnya.

Kejayaan tersebut dijangka menyuntik semangat tambahan kepada seluruh kontinjen Pulau Pinang untuk terus berjuang memburu kilauan emas dalam baki saingan SUKMA Selangor 2026.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MIKAIL ONG (MSNPP)