Sumbangan Aidilfitri bantu golongan kurang bernasib baik

GEORGE TOWN – Seramai 40 orang cacat penglihatan dari Persatuan Tongkat Putih (PTP) dan Blind Advancement Services (BAS) terpilih menerima hamper berupakan beras serta produk makanan asas dari Pusat Urus Zakat (PUZ) sempena Aidilfitri di sini baru-baru ini.

Majlis penyampaian tersebut disempurnakan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim.

Menurut Abdul Malik, program tersebut telah dilaksanakan sejak tujuh tahun lalu dan memanfaatkan lebih 100 penerima sejak itu.

“Sumbangan turut  merangkumi mereka yang mualaf dan mempunyai tanggungan lebih daripada seorang.

“InshaAllah, kita akan teruskan program pemberian hamper sempena Aidilfitri untuk tahun-tahun mendatang sebagai salah  satu inisiatif membantu golongan kurang bernasib baik menguruskan perbelanjaan menjelang raya,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, penerima, Abu Hassan Mahmud, 37, menzahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana terpilih untuk menerima sumbangan tersebut buat tahun kedua berturut-turut.

“Seronok la, ada juga pihak bagi perhatian kepada kami yang cacat penglihatan ni (ini), rasa dihargai dan syukur sangat-sangat,” katanya yang kini bekerja sebagai tukang urut di Persatuan Tongkat Putih kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Beliau hadir bersama-sama isteri, Nurenida Robi, 29, serta anak keduanya, Mohd. Arif Haiqal (18 bulan).

Bagi penerima, Yusoff Jamaluddin, 45, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan PUZ atas keprihatinan terhadap golongan cacat penglihatan.

“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ringan sikit beban kami. Golongan OKU macam kami ni walaupun bekerja, tetapi pergerakan untuk ke sana sini agak terbatas,” katanya yang hadir bersama isteri Norazlina Ramli, 28, dan dua anaknya.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);