KN tindak proaktif insiden mati lemas

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PENANTI – Kerajaan Negeri akan meminta kebenaran Jabatan Perhilitan untuk menaikkan papan tanda larangan mandi laut supaya insiden terbaru dua remaja mati lemas di Hutan Simpan Pantai Kerachut dekat Teluk Bahang tidak lagi berulang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa melawat rumah keluarga Allahyarham Ku Muhammad Ilyas Ku Abdul Halim, 19, di sini baru-baru ini.

“Lebih baik kita melarang terus pengunjung dari mandi di kawasan berbahaya itu walaupun sangat cantik pemandangan air lautnya.

“Kita akan minta izin daripada Kerajaan Pusat untuk membikin sendiri papan tanda larangan (mandi) ini,” ujarnya sambil menyerah sumbangan ihsan kepada ayah Allahyarham, Ku Abdul Halim Ku Muhammad Tahar.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Dr. Norlela Ariffin (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Penanti), Zolkifly Md. Lazim (Presiden D’BM Hospital) dan Zulkeply Ishak (Presiden Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat Pulau Pinang, PERMUAFAKAT) turut hadir pada majlis tersebut.

Sebelum itu, abang Allahyarham, Ku Haslam Ku Abdul Halim, 24, berkata, tiada suatu larangan yang jelas di kawasan kejadian melainkan bendera merah dan papan tanda yang tertulis ‘mandi atas risiko sendiri’.

“Kalau kita lihat di situ, permukaan laut yang tenang dan pantai yang sangat cantik walaupun perut lautnya bergelora.

“Jadi, tak mustahillah kita pun tertarik nak mandi di situ,” ujar Ku Haslam.

Pada hari kejadian sekitar jam 4.17 petang, Ku Muhammad Ilyas dan empat lain dihayut dek ombak yang kuat semasa mandi di situ.

Ashwanpaljit Singh Charnjit Singh, 22, dan P.Yogambigai, 24, turut mati lemas, manakala, Nur Hayati Nasrul, 22, dan Nurul Ain Nabilah Mokthar, 21, berjaya diselamatkan.