Syor wujudkan ‘Central Kitchen’, bantu B40 penuhi permintaan pesanan makanan dalam talian

BAYAN LEPAS – Pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bukan sahaja mengakibatkan hidup golongan berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) terjejas, bahkan turut mendorong kelompok ini memulakan perniagaan masakan enak dari rumah dalam kuantiti tertentu demi memenuhi permintaan pesanan makanan dalam talian yang kian meningkat.

ABDUL Halim Hussain.

Susulan itu, Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata pihaknya akan mempertimbang cadangan beberapa pihak usahawan kecil dari rumah terbabit untuk mewujudkan Dapur Berpusat atau ‘Central Kitchen’ di kawasan terpilih.

“Kerajaan Negeri sejak 14 Mac (2020) telah melancarkan pakej rangsangan ekonomi negeri bernilai kira-kira RM151 juta ini antaranya dalam pelbagai bentuk bantuan termasuk kepada usahawan dan penjaja kecil.

“Yang hilang pendapatan ketika PKP, kebanyakan memulakan dengan berniaga makanan dengan masak dari rumah, untuk memenuhi pesanan secara dalam talian… sambutan begitu menggalakkan.

“Sesetengah tempat mungkin memerlukan ‘Central Kitchen’ yang mana ada suatu tempat khas untuk mereka masak dan proses penghantaran pesanan dalam talian dibuat dari ‘Central Kitchen’ ini.

“Kebanyakan golongan B40 yang mula berniaga masakan dari rumah, rata-rata duduk di rumah pangsa, luas dapur yang sangat terhad, tetapi ada yang menerima pesanan secara dalam talian dalam sehari begitu banyak, cecah ribuan (pek).

“Jadi, kena ada satu tempat khas yang dipanggil ‘Central Kitchen’, bukan astaka makanan,” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan Program Memperkasakan Usahawan, Penjaja Kecil dan Koperasi Peringkat Daerah Barat Daya di Balai Rakyat Bayan Baru di sini pada 9 Ogos 2020.

(Depan sekali, dari kiri) WAKIL Pusat Khidmat Rakyat ADUN Pantai Jerejak, Azrul Mahathir Aziz, Abdul Halim Hussain dan Mohd. Hafiz Aswad Nadzri merakamkan gambar kenang-kenangan dengan para peserta Program Memperkasakan Usahawan, Penjaja Kecil dan Koperasi Peringkat Daerah Barat Daya di Balai Rakyat Bayan Baru di sini pada petang tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dan Pegawai Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri turut berucap pada majlis tersebut.

Difahamkan, Program Memperkasa Usahawan, Penjaja Kecil dan Koperasi Peringkat Daerah Barat Daya yang diadakan dalam dua sesi menerima penyertaan 193 orang; pada sebelah pagi di Balai Rakyat Balik Pulau sementara di sini pada sebelah petang.

Abdul Halim yang juga ADUN Batu Maung berkata bahawa pihaknya dimaklumkan ketika PKP ada golongan B40 memasak makanan ‘Takoyaki’ dari rumah, pernah sampai mendapat jualan kasar RM700 sehari bagi memenuhi permintaan jualan secara dalam talian.

Di samping itu, Abdul Halim memberitahu bahawa penganjuran Program Memperkasa Usahawan, Penjaja Kecil dan Koperasi akan diperluaskan ke Daerah Timur Laut, Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU).

“Ketika dalam PKP, program ini kita (Kerajaan Negeri) mula buat di daerah SPS (Seberang Perai Selatan), dan pada hari ini kita buat dalam dua sesi di Daerah Barat Daya, dan selepas ini akan diperluaskan ke tiga daerah lain.

“Sebelum hujung tahun (2020) ini, kita sasar paling kurang 450 peserta berdaftar merangkumi kelima-lima daerah mengikuti Program Memperkasa Usahawan, Penjaja Kecil (dan Koperasi) ini,” katanya.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB