Taman Macallum, taman kejiranan usaha MPPP

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) terus memperkasakan Pulau Pinang menjadi sebuah bandar yang aktif dan interaktif melalui program-program rekreasi yang bersifat bersih, hijau, sihat dan selamat di taman-taman rekreasi awam di negeri ini.

Terbaru, dengan peruntukan kos sekitar RM139,200.00, MPPP secara proaktifnya menyempurnakan sebuah lagi taman iaitu Taman Kejiranan Macallum dengan keluasan 15,101.70 meter persegi sekaligus menjadikan taman berkenaan sebagai taman kejiranan keempat yang diusahakan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan banjir, Chow Kon Yeow yang hadir menyempurnakan majlis terbabit berkata, MPPP kini giat menghijaukan seluruh Pulau Pinang dengan penanaman pokok-pokok teduhan dalam usahanya menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri dalam taman.

“Syabas kepada MPPP kerana mampu menjadikan Pulau Pinang sebagai bandar aktif dan interaktif melalui projek-projek penghijauan.

“Taman-taman ini bukan sahaja memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk bersenam dan berekreasi bersama keluarga, malahan, turut membuka ruang kepada masyarakat setempat untuk memupuk perasaan kasih sayang, persefahaman dan kecintaan di antara satu sama lain,” ujarnya pada Majlis Perasmian Taman Kejiranan Macallum di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis, Datuk Ar. Patahiyah Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Lau Keng Ee, Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MPPP.

Terdahulu pada tahun 2013, MPPP telahpun membina lima buah Taman Poket iaitu Taman Jesselton, Taman Loh Poh Heng, Taman Jalan Anson, Taman Jalan Penang dan Taman Medan Nipah.

Manakala, empat buah Taman Kejiranan iaitu Taman Beriksa, Farlim, Taman Pekaka, Taman lebuh Nipah 2, dan Taman Macallum.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menyeru orang ramai agar menggunakan kemudahan di taman tersebut dengan sebaik-baiknya.

“Sama-samalah kita menjaga kebersihan dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di taman ini.

“Saya yakin, jika orang ramai menggunakannya sebaik mungkin dan bekerjasama dengan MPPP, maka Taman Kejiranan Macallum ini akan menjadi taman contoh yang terbaik di Pulau Pinang. Tidak mustahil!” tegasnya.