Taman Persahabatan produk pelancongan baru PP

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

LIM Guan Eng bersama Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Majlis MPPP melihat kolam air pancut yang disumbangkan oleh Boon Siew Group selepas upacara perasmian Taman Persahabatan Lebuh Farquhar di sini baru-baru ini.
LIM Guan Eng bersama Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Majlis MPPP melihat kolam air pancut yang disumbangkan oleh Boon Siew Group
selepas upacara perasmian Taman Persahabatan Lebuh Farquhar di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Sebuah Taman Persahabatan atau ‘Friendship Park’ yang direka khusus berkonsepkan ‘pocket park’ (taman kocek) terletak di Lebuh Farquhar, berhadapan dengan Hotel City Bayview telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini.

Taman berkeluasan 2281.78 meter akan menjadi salah satu produk pelancongan dan impak kepada bandar George Town dari segi keindahan dan kehijauannya apabila para pengunjung kenamaan yang melawat negeri ini berpeluang menanam pokok spesis “Bucida Varigated”.

Guan Eng berkata, idea untuk membina sebuah taman kocek di Pulau Pinang terhasil semasa lawatan rasmi beliau ke Surabaya, Indonesia baru-baru ini bersama dengan Puan Yang DiPertua Majlis.

“Taman Persahabatan ini akan mengabadikan kenangan kepada pelawat kenamaan terutamanya dari Bandar Berkembar dan Bandar Persahabatan dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) seperti Bandar Taipei dan Kaoshiung. Ini akan meletakkan taman ini setaraf dengan taman-taman dalam bandar besar yang lain di dunia.

“Diharapkan kesemua Datuk Bandar atau Mayor yang bakal menandatangani memorandum Persefahaman 2012 seperti Bandar Okinawa, Naha, Jogjakarta dan beberapa bandar dari Negara China akan turut serta menanam pokok “Bucida Varigated” sebagai tanda persahabatan yang terjalin.

Guan Eng turut merakamkan ucapan terima kasihnya kepada Boon Siew Group Sdn. Bhd. yang sudi menaja sebuah Kolam Pancutan Air di kawasan Taman Persahabatan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Turut hadir padir Majlis Perasmian Yang DiPertua MPPP, Ar. Patahiyah Ismail, wakil Boon Siew Group, Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Ahli-ahli Majlis MPPP.