Tambah satu lagi lorong masuk ke Plaza Tol Jawi, atasi kesesakan lalu lintas

Admin

JAWI – Pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang dalam pelaksanaan untuk menyediakan satu lagi lorong tambahan masuk ke Plaza Tol Jawi bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye pada sidang media selepas melakukan lawatan tapak ke plaza tol berkenaan dekat sini pagi ini.

Beliau berkata, kerja-kerja di tapak bagi penyediaan lorong tambahan tersebut telahpun bermula pada 5 April lalu dan dijangka siap serta mula beroperasi pada Mei ini.

Jason H’ng Mooi Lye bersama-sama Heng Yeh Shiuan dan kakitangan LLM semasa mengadakan lawatan tapak ke Plaza Tol Jawi, di sini.

“Sejak menjadi wakil rakyat di sini, saya terima banyak aduan dan cadangan daripada orang awam berkenaan dengan kesesakan lalu lintas di Tol Jawi terutamanya pada waktu puncak iaitu dari jam 8:00 pagi hingga 9:00 pagi.

“Ini kerana, saya difahamkan bahawa setiap hari dari jam 6:30 pagi hingga 9:00 pagi jumlah kenderaan yang masuk ke Plaza Tol Jawi dari arah Nibong Tebal adalah kira-kira 7,000 hingga 8,000 termasuk kenderaan berat.

“Justeru, satu perbincangan telah diadakan bersama-sama pihak LLM, PLUS Malaysia Berhad, Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk mencari cara bagi mengurangkan masalah kesesakan ini.

Jason H’ng Mooi Lye ketika ditemui pemberita.

“Selepas perbincangan dilakukan, pihak LLM dan JKR bersetuju untuk menutup satu lorong keluar dan menukarkannya kepada lorong masuk ke Plaza Tol Jawi dari arah Nibong Tebal,” jelasnya lanjut.

Turut hadir pada lawatan tersebut adalah Ahli Majlis bagi MBSP, Heng Yeh Shiuan.

Tambahnya lagi, pihak LLM dan PLUS (Malaysia Berhad) juga telah melakukan simulasi untuk melihat kesan penutupan lorong keluar dari plaza tol tersebut terutamanya pada waktu petang.

“Selepas simulasi dilakukan pihak LLM mendapati cadangan tambahan satu lagi lorong masuk ke Plaza Tol Jawi sesuai untuk dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan trafik di kawasan ini.

“Oleh itu, tambahan satu lagi lorong masuk ini akan menjadikan laluan bagi kedua-dua arah mempunyai masing-masing empat lorong merangkumi SmartTAG (1), Touch ‘n Go (2) serta satu laluan khas untuk kenderaan berat.

“Pada masa akan datang, plaza tol ini juga akan turut menyediakan kemudahan pengecaman frekuensi radio (RFID) bagi melancarkan lagi aliran lalu lintas,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata bahawa masalah kesesakan yang berlaku di kawasan berkenaan adalah berpunca daripada reka bentuk jalan yang mana jarak dari tol ke persimpangan adalah terlalu dekat.

“Saya percaya selepas penyediaan satu lagi lorong tambahan masuk ini akan dapat mengurangkan kesesakan khususnya di laluan dari Nibong Tebal ke arah plaza tol pada waktu pagi.

“Walau bagaimanapun, saya juga ingin menasihati pengguna jalan raya agar memberikan kerjasama dengan tidak memotong barisan semasa masuk ke plaza tol bagi mengelakkan lalu lintas bertambah sesak,” serunya.

Pada Mac tahun lepas, Mooi Lye mengemukakan dua saranan kepada pihak LLM untuk mengurangkan kesesakan trafik di persimpangan tol Jawi iaitu dengan menambah satu lagi lorong masuk ke plaza tol atau mengehadkan waktu laluan bagi kenderaan berat.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS