Tanamkan prinsip kekeluargaan dalam PDC – Ketua Menteri

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

ANTARA aksi para peserta pada penganjuran program Hari Keluarga PDC di sini baru-baru ini.
ANTARA aksi para peserta pada penganjuran program
Hari Keluarga PDC di sini baru-baru ini.

BAYAN LEPAS – Kunjungan Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng ke penganjuran Hari Keluarga Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) baru-baru ini menceriakan lagi program tahunan badan korporat tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi PDC menasihatkan seluruh kakitangan yang hadir supaya meningkatkan kualiti kerja demi menjayakan cita-cita Kerajaan Negeri.

“Di sini pun, macam keluarga. Ada ‘ayah’ yang mesti dipatuhi dan akan ‘ibu’ dan ‘anak-anak’ yang mesti memberi kerjasama. Kalau ada yang tidak betul, mesti ditegur. Kalau ada yang betul, mesti disokong.

“Inilah prinsip kekeluargaan yang mesti dibina dalam keluarga besar PDC ini supaya produktiviti kita terus ugul dan terbaik untuk kepentingan rakyat dan selari dengan hasrat negeri mahukan pentadbiran yang Cekap, Akauntabel dan telus (CAT),” ujarnya pada di Padang Rekreasi PDC, di sini.

Turut hadir, Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar.

Pelbagai sukaneka mengisi program sepagi sepetang itu yang membabitkan keluarga-keluarga kakitangan PDC sendiri.

Mereka yang hadir rata-rata menyuarakan rasa gembira kerana Guan Eng bukan sahaja menyempurnakan majlis perasmian, bahkan turun padang bersaing dalam acara sukaneka.