Turap jalan ikut keperluan, bukan hanya menjelang pilihanraya – ADUN

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

AIR ITAM – Hampir semua jalan masuk ke kampung-kampung membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Itam kini sudah diturap.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai berkata, sejumlah RM608,000 dibelanjakan bagi menurap 22 batang jalan melibatkan projek penurapan tiga fasa.

“Projek penurapan jalan-jalan kampung ini membuktikan bahawa komitmen Kerajaan Negeri dalam memberi keselesaan dan menjaga kebajikan orang-orang kampung di sini.

“Kita (Kerajaan Negeri) menjalankan projek penurapan sepanjang tahun mengikut keperluan dan bukannya turap setiap kali menjelang pilihanraya,” katanya ketika mengadakan tinjauan ke Jalan Kampung Bukit Paya Terubong yang siap diturap dekat sini baru-baru ini.

Jelas Hon Wai, sehingga kini, fasa pertama projek melibatkan 15 batang jalan di Air Itam adalah projek penurapan semula yang menelan kos RM508,000, fasa kedua, enam batang jalan Kampung Lembah Ria (RM80,000), fasa ketiga, Jalan Kampung Bukit Paya Terubong (RM20,000).

“Tahun hadapan, kita (Kerajaan Negeri) akan menurap beberapa batang jalan di sekitar Kampung Shaik Madar pula dan beriltizam untuk menambahbaik keadaan beberapa batang jalan lain di Air Itam,” katanya yang juga berharap agar orang ramai menjaga sebaiknya kemudahan disediakan demi keselesaan semua pihak.