Tanpa LRT, rakyat tanggung kos lebih tinggi – Kon Yeow

Admin
whatsapp image 2024 04 01 at 2.06.07 pm (1)

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa kos yang terpaksa ditanggung oleh rakyat menjadi lebih tinggi sekiranya Projek Transit Aliran Ringan (LRT) tidak dilaksanakan di negeri ini.

Beliau berkata, rakyat tetap perlu membayar kos yang tinggi sekiranya Pulau Pinang tidak mempunyai sistem pengangkutan awam dan sistem jalan raya yang efektif dan efisien.

“Tersangkut dalam kesesakan lalu lintas setiap hari juga merupakan satu kos yang perlu ditanggung oleh rakyat dan Kerajaan Negeri.

“Walaupun projek LRT tidak dapat menyelesaikan 100 peratus isu kesesakan lalu lintas di seluruh Pulau Pinang, tetapi ini merupakan satu permulaan kepada pelbagai komponen projek lain seperti yang dirancang di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

“Ini merupakan satu usaha untuk memastikan pada masa-masa akan datang, rakyat tidak perlu menganggung kos dan menghabiskan masa sehingga ribuan jam di jalan raya hanya kerana tersangkut dalam kesesakan lalu lintas,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu dibangkitkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempersoalkan kos pembinaan LRT di negeri ini yang didakwa amat tinggi selain bakal merosakkan alam sekitar.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa kos sebenar bagi projek pembinaan LRT di negeri ini hanya akan diketahui setelah Permintaan untuk Cadangan (RFP) dan perjanjian dimuktamadkan kelak.

“Saya percaya kos akan ditetapkan selepas aspek reka bentuk, sistem dan jenis kereta api dimuktamadkan, tetapi mungkin melebihi RM10.5 bilion seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Jadi setakat ini, kita hanya melihat kepada angka yang telah diluluskan untuk projek ini,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Kon Yeow memberitahu bahawa majoriti penduduk di Pulau Pinang menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan projek LRT melalui pelbagai sesi libat urus yang dijalankan sebelum ini.

“Projek ini sudah melalui segala proses wajib sehingga mendapat kelulusan, dan dalam proses berkaitan, sesi libat urus serta lain-lain yang melibatkan pandangan awam telah diadakan.

“Saya percaya pertubuhan-pertubuhan, NGO-NGO serta individu-individu sudah memberikan maklum balas masing-masing.

“Justeru, saya berharap NGO yang masih membantah dapat melihat bahawa projek ini disokong oleh kebanyakan rakyat jelata kerana dalam sesi libat urus yang diadakan, kita peroleh sokongan rakyat melebihi 90 peratus,” katanya.

Pada 29 Mac lalu, jemaah menteri telah meluluskan cadangan pembinaan Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang yang dijangka siap pada 2030.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyatakan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk melantik MRT Corp, syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), sebagai pemaju dan pemilik aset untuk projek tersebut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD