TEK-UPP rai 26 usahawan mikro SPS, jualan digital cecah hampir RM191,000

Admin
whatsapp image 2026 11 25 at 12.09.40

NIBONG TEBAL – Seramai 26 usahawan mikro luar bandar dari Seberang Perai Selatan (SPS) diraikan pada Majlis Apresiasi dan Penutupan Program Transformasi Usahawan Mikro Luar Bandar Pulau Pinang (TEK-UPP) 2026 pada 20 November lalu, selepas merekodkan jualan digital terkumpul sebanyak RM190,952.90 sepanjang tiga bulan pemantauan.

Pengarah Program TEK-UPP yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Norizan Baba Rahim berkata, daripada jumlah itu, seramai 10 peserta berprestasi terbaik menerima sijil penghargaan dan insentif berdasarkan pencapaian jualan masing-masing, melibatkan tiga peserta Kategori Cemerlang, empat Kategori Amat Baik dan tiga Kategori Baik.

Menurut beliau, pencapaian tersebut mencerminkan perkembangan positif hasil latihan pendigitalan perniagaan yang bermula pada Julai lalu, sebelum peserta mengikuti bimbingan susulan dan pemantauan prestasi jualan dari Ogos hingga Oktober 2026.

Berdasarkan penilaian sepanjang tiga bulan pemantauan, jualan digital peserta meningkat daripada RM51,693.90 pada Ogos kepada RM59,769.20 pada September, sebelum melonjak kepada RM79,489.80 pada Oktober.

“Peningkatan sebanyak RM27,795.90 atau 53.8 peratus antara Ogos dan Oktober itu menunjukkan perkembangan positif keupayaan usahawan memanfaatkan platform digital bagi memperluas pasaran serta meningkatkan jualan produk masing-masing,” ujarnya pada majlis yang berlangsung di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, USM dekat sini.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut, Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol.

Untuk rekod, Buletin Mutiara pada 12 Ogos lalu pernah melaporkan bahawa peserta program berkenaan berjaya menjana jualan digital sebanyak RM12,361.50 dalam tempoh tujuh hari selepas mengikuti latihan tersebut.

Jelas Norizan, program berkenaan bukan sekadar memberikan pendedahan kepada usahawan mikro mengenai penggunaan teknologi digital, malah turut menekankan aplikasi praktikal bagi membantu meningkatkan prestasi perniagaan.

Peningkatan jualan digital yang direkodkan sepanjang tiga bulan pemantauan menunjukkan bahawa bimbingan berterusan serta penggunaan saluran pemasaran digital berupaya membantu usahawan memperluas pasaran dan meningkatkan potensi jualan.

“Kami berharap peserta dapat meneruskan amalan pendigitalan ini secara konsisten, bukan sahaja untuk mengekalkan momentum jualan, malah membina perniagaan yang lebih berdaya saing dan mampan,” katanya.

whatsapp image 2026 11 25 at 12.09.49

Tambah beliau, seramai 24 daripada 26 peserta atau 92.3 peratus mempunyai rekod jualan digital yang lengkap sepanjang tempoh pemantauan.

“Daripada jumlah tersebut, 20 peserta atau 83.3 peratus merekodkan jualan pada Oktober yang melebihi purata jualan sebelum intervensi program, manakala 10 peserta atau 41.7 peratus menunjukkan peningkatan jualan secara berterusan dari Ogos hingga Oktober 2026.

“Manakala, bagi kumpulan 24 peserta yang mempunyai rekod lengkap, jualan digital mereka meningkat sebanyak RM19,720.60 atau 33 peratus antara September dan Oktober, sekali gus menunjukkan perkembangan penggunaan saluran pemasaran dalam talian dalam aktiviti perniagaan mereka,” ulasnya lanjut.

Difahamkan, program berkenaan menggabungkan latihan amali, bimbingan susulan dan pemantauan jualan bagi memastikan peserta dapat mengaplikasikan kemahiran digital dalam operasi perniagaan masing-masing.

Antara platform yang diperkenalkan termasuk WhatsApp Business, Facebook Page dan TikTok Business bagi memasarkan produk serta memperluas capaian pelanggan. Peserta turut dibimbing menghasilkan katalog digital, poster dan video promosi untuk meningkatkan daya tarikan pemasaran perniagaan.

TEK-UPP dianjurkan oleh PPPJJ USM dengan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai usaha memperkasa keupayaan usahawan mikro luar bandar melalui penerapan kemahiran digital dan penggunaan teknologi dalam perniagaan.

Gambar: PPPJJ, USM