Teknologi NAT bakal rancakkan pelancongan kesihatan negeri

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNInisiatif syarikat perubatan, Synapse Sdn. Bhd.(Synapse) mewujudkan makmal pertama di Pulau Pinang diyakini mampu meningkatkan industri bioteknologi dengan pengenalan kaedah teknologi dan sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan serta latihan kemahiran buat bakat tempatan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, buat julung kalinya, Synapse ditubuhkan untuk komuniti di negeri ini khasnya bagi menjalankan ujian asid amplifikasi necleic (NAT) iaitu teknologi ujian darah virus berjangkit.

“Pulau Pinang amat berbangga untuk memiliki sebuah makmal cawangan pertama Synapse dengan mengkhususkan pelaksanaan NAT yang mampu memanfaatkan kesihatan komuniti dan sekaligus meningkatkan status negeri sebagai destinasi pelancongan perubatan antarabangsa,’’ ujarnya pada Majlis Perasmian Makmal Synapse Sdn. Bhd. baru-baru ini di sini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Pengarah Urusan Synapse Sdn. Bhd., Dr. Rachna Kairon, Pengarah Urusan Science Valley Sdn. Bhd., Chris Lee dan Presiden Penang Health Association, Datuk. Dr. Chan Kok Ewe.

Dalam pada itu, Kairon berkata, makmal yang bakal ditempatkan di Suntech @ Penang Cybercity di Bayan Baru adalah untuk membekalkan ujian NAT kepada hospital-hospital swasta di Pulau Pinang.

“NAT telah diimplementasikan oleh syarikat kami sejak 2007 di makmal pusat di Kelana Jaya, Selangor.

“Ujian tersebut adalah untuk membantu mengesan jangkitan pada tahap awal dan mengurangkan risiko jangkitan yang secara tidak langsung turut meningkatkan keyakinan umum berhubung keselamatan bekalan darah,’’ jelas beliau.