Terokai keunikan ekopelancongan Pulau Aman

Admin

PULAU Aman atau juga dikenali sebagai ‘Island of Peace’ merupakan kawasan perkampungan masyarakat Melayu yang semakin popular sebagai salah satu destinasi ekopelancongan menarik di Pulau Pinang.

Terletak di bahagian selatan Seberang Perai, perjalanan ke Pulau Aman hanya mengambil masa kurang 10 minit menggunakan bot dari Jeti Batu Musang dekat Bukit Tambun.

Selain kaya dengan panorama alam semula jadi yang indah dan mengasyikkan, di Pulau Aman juga terdapat beberapa struktur binaan lama seperti Telaga Mas dan masjid yang mampu menarik kehadiran pelancong sama ada dari dalam dan luar negara.

Wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar DARWINA MOHD. DAUD berkesempatan menerokai keindahan dan beberapa keunikan di sekitar Pulau Aman yang berbaloi untuk dinikmati oleh para pelancong.

Tarikan utama

Saibi Abdul Majid menunjukkan Telaga Mas yang dibina oleh seorang penduduk pada tahun 1789.

Setibanya di Jeti Pulau Aman, kami dibawa oleh Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat, Encik Saibi Abdul Majid untuk melihat pokok Sukun Pulut berusia 203 tahun yang merupakan antara tarikan utama di pulau ini.

Pokok Sukun Pulut dekat Pulau Aman diiktiraf sebagai pokok sukun tertua di Malaysia itu difahamkan ditanam pada tahun 1890 oleh Tok Awang Akib yang merupakan seorang guru Al-Quran.

Selain itu katanya, beliau membawa kami ke Telaga Mas berusia 231 tahun dan Masjid Ar-Rahman yang dibina sejak tahun 1817 (203 tahun).

“Sebelum adanya bekalan air bersih yang disediakan pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telaga ini menjadi sumber air utama bagi penduduk di sini.

“Sekarang ada juga pelancong dari luar negeri yang datang ke Pulau Aman untuk berkhemah dan merasai sendiri pengalaman mandi dan meminum air dari telaga ini,” ujarnya.

Goh Choon Aik menunjukkan maklumat mengenai pokok Sukun Pulut ditanam pada tahun 1890 dan merukan yang tertua di negara ini.

Tambah Saibi, bagi mereka yang berminat melakukan aktiviti lasak, di Pulau Aman juga disediakan kemudahan bagi ‘jungle tracking’ dan tapak perkhemahan yang boleh memuatkan lebih 100 orang.

“Saya juga menyediakan perkhidmatan bot untuk aktiviti ‘island hopping’ kepada pelancong yang mana mereka akan dibawa mengelilingi Pulau Aman, Pulau Gedung sehingga ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam (jambatan kedua) dengan harga yang berpatutan,” jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai masa depan sektor pelancongan di Pulau Aman, Saibi menyatakan harapannya agar lebih banyak kemudahan ditambah baik bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancong.

“Kita juga ada masalah mengenai lokasi untuk ke Jeti Batu Musang yang kini dikenali dengan pelbagai nama iaitu Jeti Pulau Aman, Jeti Bandar Cassia dan Jeti Jatu Kawan yang mana keadaan ini akan mengelirukan pelancong terutamanya pelancong asing.

Buaian setinggi 12 kaki antara tarikan terbaru di Pulau Aman.

“Oleh itu, kita mohon pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat untuk menyeragamkan nama Jeti Batu Musang bagi mengelakkan kekeliruan,” ujarnya.

Menurut Saibi lagi, Pulau Aman juga telah berjaya menarik beberapa syarikat penerbitan untuk menjadikan Pulau Aman sebagai lokasi penggambaran bagi drama da filem tempatan.

“Sebelum ini beberapa penggambaran filem dan drama dilakukan di sini seperti Hala 3, Seribu Kali Cinta, Kemilau di Hati Nadhirah yang ternyata telah memperkenalkan lagi Pulau Aman ke serata pelosok negara,” ulasnya.

Makanan popular

Pulau Aman juga turut terkenal dengan keenakan masakan hasil laut segar dengan harga yang berpatutan berbanding di tempat-tempat lain.

Fatimah Din.

Menurut pengusaha warung makanan laut, Fatimah Din, 55, antara makanan paling popular di Pulau Aman adalah mi udang kerana dimasak menggunakan hasil laut yang segar.

“Semua makanan yang dimasak di kedai kami menggunakan resipi turun-temurun dan masih dikekalkan sehingga hari ini.

“Kami juga hanya menggunakan hasil laut segar yang didapati terus dari nelayan tetapi dengan harga yang berpatutan.

“Masakan lain yang turut popular bagi pelancong terutamanya pada hujung minggu di sini adalah mi goreng udang dan nasi goreng udang dan ayam goreng tepung,” katanya yang telah menjalankan perniagaan tersebut sejak 15 tahun lalu.

Mi Udang antara makanan paling popular.

Selain makanan berasaskan hasil laut, Pulau Aman juga terkenal dengan menu yang menggunakan buah sukun seperti kerepek sukun, serawa, pudding, sukun goreng dan banyak lagi.

Lebih menarik, di Pulau Aman juga dikenali dengan pembuatan ikan masin serta belacan secara tradisional yang mana 100 peratus bahannya menggunakan udang.

Difahamkan, belacan yang dihasilkan di Pulau Aman turut mendapat permintaan di luar negeri seperti Selangor, Johor, Perak dan banyak lagi.

Perancangan masa depan

Belacan yang dihasilkan secara tradisional di Pulau Aman turut dipasarkan ke luar negeri.

Bagi menjadikan Pulau Aman sebagai lokasi pelancongan yang mampan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah merangka beberapa perancangan bagi membangunkan kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik berkata bahawa pihaknya telah menyediakan laporan menyeluruh mengenai Pulau Aman dan telah dibentangkan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

“Laporan ini terbahagi kepada dua iaitu Cadangan Pembangunan Bukit Tambun dan Cadangan Pembangunan Pulau Gedung yang mana kita telah menyediakan satu rancangan lengkap mengenai cadangan-cadangan ini.

“Salah satunya adalah untuk menaik taraf infrastruktur yang ada di Jeti Batu Musang dan Jeti Pulau Aman bagi kemudahan nelayan dan pelancong.

“Saya juga sedang meneliti kebolehlaksanaan pembangunan pelancongan di Pulau Gedung yang terletal bersebelahan dengan Pulau Aman.

Gedung Peluru yang dijumpai di Pulau Gedung dibina pada tahun 1901.

“Ini kerana di Pulau Gedung juga terdapat tarikan tersendiri khasnya Gedung Peluru yang dibina pada tahun 1901 untuk kegunaan pihak British pada era penjajan.

“Pulau Gedung berpotensi untuk dibangunkan sebagai tempat warisan dan juga kawasan ekopelancongan menarik,” jelasnya kepada Buletin Mutiara ketika menyertai lawatan ke Pulau Aman baru-baru ini.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) juga telah meluluskan peruntukan RM100,000 untuk menaik taraf Jeti Pulau Aman.

“(Dan) pada masa sama, piha Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) juga akan merancang semula untuk menaik taraf Jeti Batu Musang terutamanya kompleks penjaja, pusat makanan laut termasuk pantai di batu Kawan selaras dengan pembangunan ekopelancongan Pulau Aman dan Pulau Gedung,” katanya.

Mengulas lanjut, Chook Aik memberitahu bahawa usaha merancakkan aktiviti pelancongan Pulau Aman berdepan dua masalah utama iaitu kebersihan dan kurangnya penyertaan daripada penduduk setempat bagi penganjuran sebarang kempen atau aktiviti.

“Selama dua tahun kami adakan program iaitu Pesta Pulau Aman yang mana penduduk dilihat kurang menunjukkan minat untuk meningkatkan taraf hidup dan mereka lebih selesa dengan apa yang ada kini.

Jeti Pulau Aman bakal dinaik taraf bagi kemudahan pelancong dan nelayan.

“Mereka juga seolah-olah kurang bersedia untuk menyambut kehadiran pelancong yang lebih ramai dan tidak mengambil peluang untuk mengecapi peluang ekonomi yang mungkin wujud dengan kehadiran pelancong,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru kepada semua penduduk untuk turut bersama-sama Kerajaan Negeri dalam usaha membangunkan Pulau Aman sebagai sebuah pulau ekopelancongan dan tapak warisan.

“Kita juga mahu penduduk bersedia menyambut pelancong dalam dan luar negara yang lebih ramai agar dapat mengecapi pertumbuhan ekonomi sekaligus meningkatkan pendapatan mereka.

“Penduduk juga perlu memodenkan produk penghasilan selain perlu lebih kreatif dengan menyediakan cenderahati untuk dipasarkan kepada pelancong yang datang,” katanya.

Bagi pencinta alam semula jadi dan penggemar ekopelancongan, Pulau Aman adalah antara lokasi terbaik untuk dilawati kerana kawasan ini bukan sahaja mempunyai pemandangan yang menarik bahkan lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti inap desa, sekolah, klinik, hotel bajet, restoran dan banyak lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD