Tiada cadangan pinda tempoh dua penggal Ketua Menteri kepada 10 tahun, kata Kon Yeow

Admin
whatsapp image 2026 05 11 at 10.06.15

GEORGE TOWN – Pada ketika ini, Kerajaan Negeri tidak mempunyai rancangan untuk meminda had perkhidmatan Ketua Menteri Pulau Pinang daripada dua penggal kepada tempoh agregat 10 tahun.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, tafsiran dua penggal yang diguna pakai ketika ini adalah berdasarkan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

Menurut beliau, Perkara 7 Fasal 2(a) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan bahawa Yang Dipertua Negeri hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mendapat kepercayaan majoriti sebagai Ketua Menteri dan individu tersebut tidak pernah memegang jawatan itu bagi dua penggal sebelum ini.

“Perkara 19 Fasal 3 pula memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) hendaklah berjalan selama lima tahun dari tarikh persidangan pertamanya, melainkan dibubarkan lebih awal.

“Dalam keadaan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan sebelum cukup tempoh lima tahun, maka istilah dua penggal itu difahami sebagai pengiraan kumulatif tahun bagi penggal pertama dan kedua, yang keseluruhannya boleh kurang daripada 10 tahun tetapi tidak boleh melebihi 10 tahun,” ujarnya pada sesi soalan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Kelima Belas di DUN Pulau Pinang di sini pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon yang mencadangkan supaya negeri pertimbangkan pindaan perlembagaan bagi mentakrifkan dua penggal sebagai tempoh agregat 10 tahun, selaras dengan cadangan pindaan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan berhubung had jawatan Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa MMK sebelum ini telah memutuskan bahawa definisi dua penggal dikira bermula daripada tarikh persidangan pertama DUN sehingga pembubarannya dan kaedah sama digunakan bagi penggal berikutnya.

“Memang boleh berlaku tempoh itu kurang daripada 10 tahun sekiranya DUN dibubarkan lebih awal, dan tempoh itu bukan dikira dari tarikh pilihan raya, sebaliknya dari tarikh DUN mula bersidang.

“Dua penggal sebelum pindaan dahulu memang genap lima tahun setiap satu, namun selepas pindaan dibuat, keadaan politik berubah dan menyebabkan ada penggal yang tidak mencapai tempoh penuh lima tahun,” katanya.

Tambah beliau, had dua penggal diperkenalkan atas pertimbangan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Ketua Menteri, namun realiti politik semasa turut perlu diambil kira.

“Jika pindaan di Parlimen diluluskan kelak, maka perkara itu boleh dipertimbangkan untuk diselaraskan pada peringkat negeri,” katanya lagi.

Sementara itu, ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung turut menyifatkan pindaan had dua penggal yang diluluskan pada 16 November 2018 sebagai detik bersejarah kerana Pulau Pinang menjadi negeri pertama melaksanakan langkah sedemikian.

Walau bagaimanapun beliau menyatakan bahawa Malaysia tidak mempunyai tempoh pilihan raya tetap seperti diamalkan di Amerika Syarikat, dan keadaan itu boleh menyebabkan sesuatu penggal berakhir lebih awal daripada tempoh maksimum lima tahun.

Menjawab perkara itu, Kon Yeow memberitahu bahawa perubahan landskap politik selepas 2018 menyebabkan beberapa keadaan yang sebelum ini tidak dijangka berlaku.

“Dari segi pertimbangan perundangan, tiada undang-undang yang menghalang negeri atau Ketua Menteri berkhidmat penuh lima tahun sekiranya DUN tidak dibubarkan lebih awal.

“Namun begitu, kita juga perlu mempertimbangkan perubahan politik yang berlaku dari semasa ke semasa,” jelasnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN