Tiada pencerobohan pemaju

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Siasatan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) mendapati bahawa pembinaan tembok setinggi dua meter dibangunkan pemaju dekat Tanah Perkuburan Islam Kampung Boundry, Air Itam yang menjadi kontroversi di sini adalah tidak memasuki kawasan tanah perkuburan terbabit.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, hasil siasatan mendapati bahawa tiada sebarang pencerobohan atau perlanggaran sempadan tanah perkuburan oleh pemaju.

“Kontraktor tidak mengalihkan mana-mana batu nisan atau meratakan mana-mana kubur.

“Timbunan batu nisan yang ada di tepi pagar tanah perkuburan tersebut telah dialihkan sejak sekian lama dan ianya kerana terdapat jenazah baru untuk dikebumikan setelah kubur berkenaan telah lama dibiarkan oleh waris atau kerana mendapan (hakisan tanah) yang berlaku di situ.

“Ia bukannya dialihkan oleh pihak pemaju atau kontraktor berkenaan” katanya yang turut menyatakan bahawa ianya adalah amalan yang biasa dibuat (mengalihkan batu nisan lama), misalnya di tanah perkuburan Islam yang sempit dan terhad pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Pada 19 Disember lalu, lebih 20 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Boundary, terjejas dipercayai diceroboh syarikat pemaju swasta yang menjalankan projek perumahan di kawasan bersebelahan.

Kejadian tersebut disedari oleh salah seorang waris yang mendapati kubur tiga ahli keluarganya diratakan selain batu nisan dicabut dan dibiarkan berselerak.

Abdul Malik memberitahu, MAINPP, JAIPP dan Jabatan Mufti akan berjumpa dengan waris keluarga yang menyatakan bahawa batu nisan ahli keluarganya dialihkan dan mencari resolusi terbaik bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Walaupun dia (waris) menolak untuk menggantikan batu nisan yang baru, kita akan adakan perbincangan.

“Saya yakin isu ini dapat diselesaikan secara baik dan berhemah tanpa dipengaruhi emosi keterlaluan dan hasutan pihak tertentu yang berniat menangguk di air keruh bagi mensensasikan isu tersebut,” jelas beliau.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri amat prihatin terutama apabila menyentuh soal agama dan keperluan rakyat.

“Namun, ada pihak dipercayai cuba menafikan keprihatinan Kerajaan Negeri dengan memutarbelitkan isu ini (isu tanah perkuburan Kampung Boundary) dan cuba membangkitkan api kebencian kaum dengan menunding jari kepada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri suka mengingatkan mana-mana pemaju dan kontraktor untuk mematuhi segala peraturan dan spesifikasi projek pembinaan terutama yang berdekatan tanah wakaf, tanah perkuburan dan masjid.

“Kita (Kerajaan Negeri) amat memandang serius perkara ini kerana ia berkaitan dengan sensitiviti agama,” tegas Abdul Malik.

Sementara itu, Abdul Malik turut menyatakan bahawa sebuah batu nisan turut dihantar ke pejabatnya di sini baru-baru ini.

Turut menerima, Yang diPertua MAINPP, Datuk Salleh Man dan Yang diPertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail.

“Sekarang kita memang ada masalah. Batu nisan ini semua milik siapa? Dari mana ia datang? Bagaimana nanti ada waris yang menuduh kami (Abdul Malik, Mohd. Salleh, Patahiyah) mengambil batu nisan seseorang dan menyimpannya.

“Kita akan siasat dari mana  datangnya batu nisan ini dan akan pulangkan ke tempat asalnya. Kita serahkan kepada pihak berwajib yang menjalankan siasatan tersebut,” tegas beliau.

ABDUL Malik Abul Kassim menunjukkan gambar-gambar yang dirakam di Tanah Perkuburan Islam Taman Boundary di sini baru-baru ini.
ABDUL Malik Abul
Kassim menunjukkan
gambar-gambar yang
dirakam di Tanah
Perkuburan Islam
Taman Boundary di
sini baru-baru ini.
TEMBOK setinggi dua meter yang dibina di atas tapak asal kawasan berpagar bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Taman Boundary di sini.
TEMBOK setinggi dua meter yang dibina di
atas tapak asal kawasan berpagar
bersebelahan Tanah Perkuburan Islam
Taman Boundary di sini.