Tiga pemaju gergasi biayai kos lantik firma perunding, kos penyediaan kertas putih PIFC – Ketua Menteri

Admin
c8db9d1a d569 4702 877c 3e8f0979aeaa

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mengorak langkah proaktif dalam merealisasikan penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC) melalui kerjasama strategik bersama tiga syarikat pemaju utama yang akan membiayai sepenuhnya kos pelantikan pasukan perunding bagi penyediaan kertas putih bagi inisiatif tersebut.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, tiga rakan strategik yang terlibat adalah Eastern and Oriental (E&O) Berhad, IJM Corporation Berhad, dan IDEAL Property menerusi anak syarikatnya, Queens Island Financial District (QIFT).

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa firma perunding yang dilantik akan memulakan penyediaan kertas putih berwajib dalam tempoh tiga bulan ini.

“Dokumen tersebut bertujuan menetapkan rasional strategik dan ekonomi serta hala tuju pembangunan PIFC sebagai hab kewangan utama dalam pasaran ASEAN.

“Penyediaan kertas putih ini melibatkan elemen kritikal seperti kerangka kawal selia, tadbir urus yang telus, serta pakej insentif kompetitif untuk menarik pelaburan institusi kewangan antarabangsa,” responsnya sebagai menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas di sini pada 13 Mei 2026.

Sebelum itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut memperincikan elemen teras serta komponen dasar utama yang akan dimasukkan dalam kertas putih dan pelan tindakan strategik PIFC.

Pendekatan ‘whole of state’ digunakan bagi mengintegrasikan penggiat sektor awam dan swasta secara total.

“PIFC bukan dibina untuk bersaing, sebaliknya ia adalah inisiatif pelengkap kepada zon kewangan sedia ada di Johor, Kuala Lumpur dan Labuan.

“Kita mahu mentransformasikan kekuatan ekonomi Pulau Pinang ke arah inovasi perkhidmatan kewangan sebagai tonggak ekonomi baharu,” tambahnya sebagai menjawab Soalan Lisan yang diajukan ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung.

Buletin Mutiara diberitahu bahawa pembangunan PIFC dijangka memperkukuh kedudukan Pulau Pinang bukan sahaja sebagai pusat pembuatan dunia, malah sebagai pemain utama dalam landskap kewangan global.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD