Tolak politik kotor

Admin
ORANG ramai termasuk kanak-kanak berpusu-pusu untuk mendengar ceramah Tolak Fitnah III dari Anwar Ibrahim di sini baru-baru ini.
ORANG ramai termasuk kanak-kanak berpusu-pusu untuk mendengar ceramah Tolak Fitnah III dari Anwar Ibrahim di sini baru-baru ini.

PERMATANG PAUH – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan ceramah Tolak Fitnah III bertempat di Padang Awam Taman Seri Pauh (belakang ABC Corner) pada hari Sabtu, 26 Mac 2011 bermula jam 9.30 malam.

Antara penceramah yang turut hadir untuk memberi ceramah termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Hujan lebat pada malam tersebut menyebabkan kesesakan jalan yang teruk di sekitar kawasan ceramah, namun ia tidak menghalang orang ramai dari mengerumuni padang awam itu untuk mendapatkan informasi terkini mengenai Parti Pakatan Rakyat (PR) bersama penaung-penaungnya.

Antara isi kandungan ceramah tersebut adalah berkaitan isu panas video seks yang dikatakan melibatkan Anwar. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa semua itu adalah fitnah semata-mata daripada pihak tidak bertanggungjawab yang ingin menjatuhkan reputasi beliau sebagai seorang pemimpin parti yang semakin mendapat tempat di hati orang ramai ketika ini.

Beliau sebelumnya turut menghadiri Majlis Hi-Tea dan sumbangan untuk enam orang mangsa ribut Kampung Besar di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Salleh Man bermula jam 4.00 petang.