TKM I ziarah keluarga mangsa terbakar

Admin

MANSOR Othman (kanan sekali) menyampaikan sumbangan cek kepada bapa mangsa kebakaran, Abdul Rashid (kiri sekali) di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman (kanan sekali) menyampaikan sumbangan cek kepada bapa mangsa kebakaran, Abdul Rashid (kiri sekali) di sini baru-baru ini.

 

PERMATANG PAUH – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman turut menziarahi keluarga adik Mohd. Irfan Abdul Rashid, 5, yang maut dalam satu kebakaran di Kampung Permatang Nibong, dekat sini, 3 April lalu.

Mansor berkata, kunjungan dibuat bagi pihak Kerajaan Negeri dalam berkongsi kesedihan yang dialami.

Di samping itu menurutnya, bantuan segera turut disampaikan bagi meringankan bebanan yang ditanggung selepas rumah mereka musnah sama sekali dalam kebakaran tersebut.

Pada kunjungan hari ini juga, bantuan segera berjumlah RM1,000 diberikan daripada Tabung Bencana Tuan Yang Terutama (TYT), serta sumbangan peribadi RM500 bagi meringankan bebanan mereka sekeluarga yang mengalami kerugian akibat dari kebakaran,” katanya di sini.

Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya turut menawarkan rumah kepada keluarga berkenaan samada di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Thamby Kecil, Butterworth atau PPR Desa Wawasan, Bukit Mertajam. Tawaran tersebut disertakan dengan enam bulan sewa percuma jika mereka mahu mendiami rumah tersebut.

Sementara itu, dalam program berasingan, kira-kira 250 penuntut dari Malaysia membabitkan pelbagai jurusan yang menuntut di universiti-universiti sekitar Medan, Indonesia telah menghadiri Makan Malam & Ramah Mesra khas yang diadakan di Grand Swiss Bell Hotel Medan bersama Mansor baru-baru ini.

Selain Universitas Sumatera Utara (USU), para penuntut yang hadir adalah dari Universitas Negeri Medan (UNIMED), Universitas HKBP Nommensen, Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara dan beberapa institusi pendidikan yang lain.

Turut diadakan pada majlis mesra tersebut adalah sesi dialog yang turut membabitkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus sebagai panelis.

Pada penghujung majlis tersebut, Mansor turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000.00 daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Persatuan Pelajar Malaysia di Medan.