Ujian saringan minda elak risiko sakit mental akibat pandemik

Admin

 

SEBERANG JAYA – Setiap pekerja Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) perlu mengambil ujian saringan minda menerusi aplikasi Teroka Minda Anda (Mind Your Mind) secara dalam talian.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Aplikasi Teroka Minda bersempena sambutan Hari Bandaraya Seberang Perai 2021.

Menurutnya lagi, ujian saringan minda tersebut sebagai menyambut seruan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meraikan Hari Kesihatan Mental Sedunia pada tanggal 10 Oktober nanti dengan tema ‘Menuju Kesaksamaan Kesihatan Mental’.

“Penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia memberikan impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu dan masyarakat Malaysia juga tidak terkecuali.

“MBSP selaku majikan bagi 3,983 kakitangan benar-benar memandang serius perihal kebajikan dan kesejahteraan kakitangan dari semua sudut, lebih-lebih lagi mereka yang terkesan akibat pandemik ini.

“Memandangkan masalah kesihatan mental meningkat begitu ketara, setiap pekerja MBSP diminta mengambil ujian ini demi kebaikan organisasi, diri mereka, keluarga mereka dan masyarakat amnya,” jelasnya dekat Lobi Menara Bandaraya MBSP di sini 5 Oktober 2021.

Turut serta, barisan Ahli Majlis bagi MBSP, Pemangku Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abdul Hamid; Ketua-ketua Jabatan MBSP.

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu bahawa MBSP telah menggerakkan pasukan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) supaya sentiasa bersedia untuk membantu pekerja-pekerja MBSP yang menunjukkan tanda-tanda kesihatan mental supaya dapat diberi bantuan sokongan emosi di peringkat awal.

Sebelum itu, Rozali memberitahu bahawa hasil tinjauan firma penyelidikan pasaran dan perundingan antarabangsa (IPSOS) menunjukkan bahawa Malaysia merekodkan tahap keresahan dan tekanan tertinggi berbanding 27 negara lain akibat wabak Covid-19.

Tambah beliau, sehingga Mei lepas lebih 100,000 panggilan diterima oleh medium talian bantuan seperti Talian Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan Malaysia, Mercy Malaysia, Talian Kasih dan Bahagian Keluarga Sosial dan Komuniti (KSK) JAKIM.

“Kira-kira 91.2 peratus didapati memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

“Statistik terkini ini jelas membuktikan bahawa isu kesihatan mental dalam kalangan pekerja ketika pandemik COVD-19 bukan hanya isu pada peringkat global tetapi melibatkan pekerja di Malaysia dan perlu diambil tindakan segera oleh majikan,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MBSP