JAWI – Gelanggang Bola Keranjang Bukit Panchor, di sini berdepan kejadian vandalisme berulang sejak satu hingga dua tahun lalu, termasuk kerosakan dinding dan bumbung, kipas dijatuhkan serta kabel elektrik dipotong dan dicuri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye berkata, kejadian terbaharu berjaya dikesan pada 8 Ogos lalu kira-kira jam 11 malam, dipercayai melibatkan suspek dalam kalangan remaja.
Menurutnya, suspek dipercayai membuka dan merosakkan kotak suis elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang telah dikunci, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengguna gelanggang dan penduduk sekitar.
“Dalam tempoh satu hingga dua tahun ini, kejadian vandalisme telah berlaku kira-kira lima kali atau lebih, namun, laporan polis hanya dibuat bagi kejadian terbaharu kerana kali ini terdapat bukti rakaman CCTV.
“Laporan polis telah dibuat pada 20 Ogos lalu dan setakat ini, kita masih belum menerima maklum balas atau mengetahui sama ada tangkapan telah dibuat,” katanya pada sidang media berhubung isu vandalisme di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Panchor, di sini sebentar tadi.
Mooi Lye yang juga Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa berkata, pihaknya mengambil langkah pencegahan dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di gelanggang berkenaan kira-kira dua bulan lalu bagi memantau aktiviti serta membantu mengenal pasti pihak yang melakukan vandalisme.
Katanya, bekalan elektrik di gelanggang itu turut dikawal menggunakan sistem pemasa (timer), dengan penggunaan dihadkan dari jam 7 pagi hingga 10.30 malam bagi mengelakkan gangguan kepada penduduk sekitar selain memastikan kemudahan digunakan secara terkawal.
“Sekiranya terdapat keperluan untuk menggunakan gelanggang di luar waktu yang ditetapkan, permohonan rasmi boleh dibuat kepada pejabat ADUN untuk pertimbangan dan kelulusan.
“Langkah ini bukan untuk menyusahkan pengguna, tetapi bagi memastikan penggunaan kemudahan awam dapat dikawal serta tidak menimbulkan gangguan kepada komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata, kejadian vandalisme bukan sahaja menyebabkan kerugian yang boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit, malah berpotensi mengundang risiko keselamatan kepada pengguna.
“Gangguan terhadap sistem elektrik, termasuk kabel yang dipotong atau kotak suis yang dirosakkan, boleh menyebabkan seseorang mengalami kecederaan atau kemalangan sekiranya tersentuh bahagian yang berbahaya,” katanya.
Sebagai langkah sementara, katanya, penutup kotak suis telah ditukar dan kain rentang amaran dalam tiga bahasa turut dipasang bagi memberi peringatan kepada pengguna supaya tidak mengganggu atau merosakkan kemudahan elektrik di gelanggang berkenaan.
Dalam pada itu, Mooi Lye menyeru pengguna dan komuniti setempat supaya memainkan peranan serta memikul tanggungjawab bersama dalam menjaga kemudahan awam yang disediakan untuk manfaat masyarakat.
“Kemudahan seperti ini disediakan melalui usaha ADUN, Ahli Parlimen dan pihak berkuasa tempatan untuk kegunaan komuniti.
“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan kemudahan yang disediakan dapat digunakan dengan baik dan berpanjangan.
“Saya berharap masyarakat dapat membantu memantau dan melaporkan sekiranya melihat sebarang aktiviti mencurigakan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: G. REVATIC