ASTAKA Kampung Melayu yang terletak di Air Itam bukan sekadar sebuah medan selera, malah merupakan antara lokasi perniagaan dan tempat pertemuan komuniti yang cukup sinonim dengan penduduk setempat sejak lebih lima dekad lalu.
Seiring peredaran masa, keadaan bangunan yang semakin uzur dan tidak lagi memenuhi keperluan semasa mendorong pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan kemudahan tersebut terus relevan serta mampu memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.
Usaha berterusan selama lebih enam tahun itu akhirnya membuahkan hasil apabila Astaka Kampung Melayu kini tampil dengan wajah baharu menerusi projek penaiktarafan bernilai kira-kira RM2.6 juta yang dibiayai oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, JOSEPH NG SOON SIANG berkata, hasrat untuk menaik taraf kemudahan tersebut mula diusahakan sejak tahun 2018 ketika astaka berkenaan masih berada di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menurut beliau, pelbagai kekangan ketika itu menyebabkan cadangan berkenaan tidak dapat direalisasikan.
“Selepas astaka ini diserahkan kepada MBPP pada tahun 2022, saya sekali lagi mengemukakan permohonan penambahbaikan termasuk membangkitkan perkara ini dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Usaha tersebut akhirnya direalisasikan pada penghujung tahun 2024 menerusi peruntukan MBPP,” ujarnya ketika dihubungi bagi mengetahui perkembangan terkini astaka berkenaan pada 22 Jun 2026.
Beliau menyifatkan projek berkenaan sebagai transformasi terbesar yang pernah dilaksanakan terhadap Astaka Kampung Melayu sepanjang lebih 50 tahun kewujudannya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa proses pembangunan semula astaka tersebut tidak hanya melibatkan kerja-kerja pembinaan fizikal, malah turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan.
Katanya, pihak ADUN, MBPP dan para peniaga mengadakan pelbagai sesi perbincangan bagi memastikan reka bentuk, spesifikasi unit, kadar sewaan serta aspek utiliti dapat memenuhi keperluan semua pihak.
Projek ini mengambil masa kira-kira 18 bulan untuk disiapkan dan sepanjang tempoh tersebut, kami banyak berbincang dengan para peniaga.
“Malah, kami turut mencadangkan supaya mereka menubuhkan sebuah persatuan bagi memastikan kebajikan peniaga dapat diuruskan dengan lebih teratur.
“Sebelum ini, peniaga bergerak secara persendirian dan keadaan itu agak menyukarkan urusan penyelarasan.
“Kini, sebagai satu langkah ke hadapan, persetujuan telah dicapai apabila tertubuhnya Persatuan Peniaga Astaka Kampung Melayu yang membolehkan kerjasama dalam kalangan peniaga diperkukuhkan,” jelasnya.

Menurut beliau, kira-kira 20 peniaga kini beroperasi di astaka tersebut dengan menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman halal kepada pengunjung.
Ini merupakan astaka yang 100 peratus halal dan menjadi pilihan penduduk sekitar termasuk dari Paya Terubong, Farlim, Padang Tembak serta kawasan berhampiran,” katanya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa para peniaga kini masih berada dalam tempoh liabiliti kecacatan (defect liability period), sekali gus memberi ruang kepada MBPP untuk melaksanakan sebarang penambahbaikan sekiranya diperlukan.
Beliau turut menyeru semua pihak agar bersama-sama menjaga kebersihan, kemudahan dan fasiliti yang disediakan supaya Astaka Kampung Melayu terus menjadi pusat aktiviti komuniti yang selesa serta kondusif.
Sementara itu, Ahli Majlis MBPP, Rohaizat Hamid ketika dihubungi berkata bahawa MBPP sentiasa komited untuk menaik taraf serta menambah baik kemudahan di semua astaka yang berada di bawah pentadbirannya demi keselesaan peniaga dan pengunjung.
Difahamkan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dijadual hadir bagi menyempurnakan majlis pembukaan rasmi Astaka Kampung Melayu pada 27 Jun ini.
Terdahulu, Majlis Penyerahan Kunci Astaka Kampung Melayu kepada para peniaga telah diadakan pada 9 Februari 2026, sebelum astaka berkenaan memulakan operasinya secara rasmi pada 1 April lalu.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI