Wang insentif untuk pemandu teksi, operator bas sekolah dihargai

GEORGETOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang menyerahkan RM702,600 sumbangan wang insentif kepada 2,342 pemandu teksi, sementara 653 operator bas sekolah turut akan menerima RM195,900.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pembayaran akan dibuat pada jam 9 pagi pada 26 dan 27 Januari 2019, masing-masing di Dewan Sri Pinang serta Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (PDT SPT).

“Tahun ini juga Kerajaan Negeri masih menetapkan untuk menyampaikan insentif sebanyak dua kali, sama seperti tahun-tahun lepas.

“Namun, tiada majlis perasmian yang akan diadakan pada hari pemberian tersebut, sebaliknya hanya kaunter bayaran yang akan dibuka.

“Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan sebanyak RM300 setiap orang kepada pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah di Pulau Pinang yang layak,” jelasnya dalam sidang media di Komtar pada 23 Januari 2019.

Bercakap pada sidang media sama, Pengerusi Gabungan Persatuan Pemandu Teksi Pulau Pinang (Gabungan), Abd. Malik Darus memuji pentadbiran Kerajaan Negeri kerana tetap meneruskan insentif sumbangan itu.

“Bagi pihak pemandu teksi, kita amat hargai kerana Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang memberi insentif ini.

“Apabila saya bermesyuarat di luar Pulau Pinang, saya diberitahu kita ini amat beruntunglah kerana para pemandu (teksi) mendapat insentif daripada Kerajaan Negeri, sedangkan mereka tidak (mendapat insentif pemandu teksi).

“Cuma, baru-baru ini saya diberitahu bahawa Kerajaan (Negeri) Melaka pun ada memberi insentif (dalam bentuk insurans),” ujarnya.

Lanjutan itu, Abd. Malik turut mencadangkan Kerajaan Pusat mempertimbang untuk membiayai ‘separuh’ kos insurans khas untuk para pemandu teksi berwajib.

“Insurans ini amat perlu…kalau boleh Kerajaan Negeri bagi bantuan ‘separuh’, dan sekiranya bantuan ‘separuh’ itu dimulakan bermakna dalam RM150 berdasarkan polisi (yang dicadangkan) PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial).

“Sekiranya kita dapat bantuan ‘separuh’ (RM150) dan RM150 lagi dibayar oleh para pemandu kita, bermakna ada satu lagi lagi kebajikan untuk para pemandu kita,” katanya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU MOHD. RADZI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS