DIANGGAP jaguh ragbi sejak di bangku sekolah bukan alasan untuk AHMAD HAIKAL AZIZAN, 18, ketinggalan dalam pencapaian akademik.
Anak jati Pulau Pinang itu membuktikan kecemerlangannya apabila baru-baru ini diumumkan meraih deretan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pada 13 April lalu, bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) berkenaan turut tersenarai dalam kalangan 121 atlet Pulau Pinang yang menerima insentif melalui pelbagai bentuk bantuan di bawah program Kerjaya dan Pendidikan Atlet Pulau Pinang (PACE).
PACE diperkenalkan bukan terbatas dalam bentuk insentif galakan kepada atlet-atlet yang menduduki SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), malah berbentuk insentif subsidi kelas tiusyen kedua-dua ‘peperiksaan besar’ tersebut, insentif pendidikan institusi pengajian tinggi (IPT) dan Biasiswa Sukan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).
Sambil menunggu panggilan untuk melanjutkan pengajian di mana-mana universiti awam, Ahmad Haikal kini memberi sepenuh perhatian kepada sesi latihan bersama pasukan ragbi negeri bagi memburu kedudukan lebih baik sempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 pada Ogos nanti.

Pada 29 April 2026, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB bersama-sama jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS berpeluang menemu ramah Ahmad Haikal di Dewan Cemerlang, Kompleks MSNPP dekat Batu Uban.
Ketua Unit PACE MSNPP, Azura Abdul Rahman turut menyertai sesi bual bicara bersama-sama pelajar serba boleh berkenaan.
Memulakan bicara, Ahmad Haikal berkata bahawa semasa berada di Tingkatan 1 di MCKK, beliau lebih cenderung kepada sukan bola keranjang, sesuai dengan ekosistem persekolahan yang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada waktu itu.
“Dengan ketinggian 170 sentimeter (sm), saya berasakan bola keranjang bukan sukan yang sesuai.
“Kebetulan pada waktu itu, Adam Anaqi Afqar yang merupakan kapten dan ‘bintang’ ragbi MCKK mempelawa saya menyertai pasukannya sebagai persiapan memburu kejuaraan dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perak (MSSPK).
“Dari situ, saya mula berjinak-jinak dan merasakan sukan ini lebih sesuai dengan tubuh badan serta minat saya,” jelasnya yang merupakan anak jati Permatang Pauh.
Bak benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau, pada temasya Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perak (MSSPK) tahun 2024, pasukan ragbi Kuala Kangsar menamatkan kejohanan di kedudukan dua terbaik dalam pungutan mata keseluruhan bagi acara ragbi, bersaing rapat dengan daerah Larut Matang dan Selama (LMS) serta Kinta Utara.
Pun begitu, beliau mengambil keputusan untuk tidak terlalu aktif dalam pasukan ragbi sekolah semasa di Tingkatan 5 kerana mahu memberi lebih tumpuan kepada peperiksaan SPM.
“Ibu bapa saya memang memainkan peranan penting supaya saya sentiasa dapat mengimbangi pencapaian akademik, tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar kerana saya merupakan seorang pengawas sekolah, serta minat dalam sukan ragbi.
“Mereka beritahu saya, ‘main ragbi bila-bila masa pun boleh, sama ada semasa di bangku sekolah atau selepas tamat persekolahan, tetapi SPM datang sekali sahaja dalam seumur hidup.’
“Oleh sebab saya mahu menempuh SPM yang datang sekali sahaja dalam hidup ini, maka saya fokus kepada peperiksaan besar ini sahaja dan tidak beraksi sempena temasya MSSPK 2025,” jelasnya sambil menganggap keputusan itu adalah wajar.
Berbicara lanjut, Ahmad Haikal menganggap bahawa ragbi bukan sekadar sukan, malah merupakan sebahagian daripada gaya hidup warga pelajar MCKK.
Justeru, beliau sentiasa belajar menyesuaikan diri dengan ekosistem MCKK demi memburu kecemerlangan akademik dan kemenjadian dari sudut sahsiah kepimpinan.
“Ada sesetengah pelajar memang dianugerahkan kepandaian, daya ingatan mereka seperti mesin pengimbas, memadai hanya dengan memahami dan mengingati perkara yang diajar dalam kelas.
“Macam saya, sebagai atlet sukan, apabila banyak berlaku sentuhan fizikal semasa di padang, saya perlu mengulang kaji pada masa lapang walaupun sedikit.
“Jadi, apa-apa yang dipelajari dalam kelas, apabila ada masa lapang pada waktu malam atau selepas sesi latihan, saya akan memanfaatkannya untuk mengulang kaji pelajaran,” jelasnya sambil berkata yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
Tambahan pula, apabila ditugaskan sebagai pengawas sekolah, Ahmad Haikal memberitahu bahawa rekod pencapaian akademik mesti sentiasa cemerlang supaya kelak menjadi teladan kepada adik-adik di MCKK apabila beliau meninggalkan sekolah.
Melihat ke hadapan, Ahmad Haikal berkata, beliau memang memasang impian untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Perancangan saya, kalau mahu melanjutkan pengajian ke luar negara, seboleh-bolehnya saya mahu mendapat biasiswa kerajaan supaya ada jaminan pekerjaan apabila habis belajar nanti.
“Kalau dapat tajaan daripada mana-mana syarikat pun, saya akan pertimbangkan untuk jurusan berkaitan data raya dan sebagainya, asalkan ada prospek kerjaya yang baik pada masa depan.
“Kalau melanjutkan pengajian di dalam negara pula, saya memilih bidang perubatan di UIAM kerana bidang ini kritikal dan dijangka memerlukan lebih ramai doktor bertauliah bagi memenuhi keperluan masa depan, selaras dengan Malaysia yang semakin menuju status negara menua,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahmad Haikal berkata bahawa beliau sedar mengenai cabaran serta risiko yang bakal dihadapi jika memilih bidang kedoktoran di tanah air.
Beliau menjelaskan bahawa isu lambakan doktor kontrak serta graduan bidang farmasi dan kejururawatan yang berlaku kebelakangan ini berpunca daripada masalah sistem penggantian dalam talian (e-replacement) pada peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya lagi, isu berkenaan boleh diselesaikan sekiranya pembuat dasar mempunyai iltizam politik yang jelas seperti tidak menyempitkan ruang fiskal, berani berbelanja mengikut keperluan sebenar rakyat serta menambah lebih banyak skim perjawatan tetap dengan gaji setimpal dalam sektor perkhidmatan awam berkaitan.
“Perkara-perkara ini wajar dipertimbangkan bukan sahaja untuk menangani isu doktor kontrak dan lambakan graduan bidang farmasi serta kejururawatan, malah bagi mencegah risiko penghijrahan cendekiawan (brain drain) daripada terus berlaku di negara yang mempunyai ramai bakat serba boleh.
“Bagi saya sendiri, kalau ditakdirkan terpaksa menghadapi isu sama kelak, selepas habis latihan siswazah perubatan (housemanship), saya akan terus melanjutkan pengajian ke peringkat pakar, tidak kira sama ada dengan biasiswa ataupun tajaan mana-mana pihak kerana permintaan terhadap doktor pakar juga lebih kritikal di negara ini,” jelasnya lagi sambil berkata alah bisa tegal biasa.
Baginya, perkara paling penting dalam hidup ialah melakukan setiap pekerjaan dengan bersungguh-sungguh demi mencari keberkatan Allah S.W.T agar segala usaha yang dilakukan memberi manfaat kepada ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling.
“Hidup ini adalah suatu perjalanan dan bukan pelarian, jadi belajarlah bersungguh-sungguh sampai berjaya dan jangan lari daripada cabaran kehidupan, kerana wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah Iqra’, yang bermaksud ‘Bacalah’,” jelasnya.
Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT mencintai jika seseorang daripada kamu melakukan sesuatu kerja, dia melakukannya dengan itqan (tekun, teliti dan sebaik mungkin).” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Mengakhiri sesi bual bicara selama hampir 40 minit, Ahmad Haikal berharap perkara yang paling penting bukan kisahnya sebagai pemain ragbi negeri serta kejayaannya meraih 9A dalam peperiksaan SPM, sebaliknya menyeru semua pelajar supaya bersungguh-sungguh semasa menuntut ilmu dalam ekosistem persekolahan yang semakin mencabar.
“Kita kena minta secara bersungguh-sungguh, barulah Allah S.W.T akan menganugerahkan kejayaan yang penuh barakah di sebalik apa jua pekerjaan yang sedang kita usahakan.
“Tidak kira sama ada semasa saya beraksi di padang, di dalam kelas ataupun di sekitar MCKK, kita perlu berusaha dan bertawakal kepada Allah S.W.T.
“Tidak ada apa-apa rahsia di sebalik kejayaan akademik ini melainkan belajar bersungguh-sungguh, berdoa dan selebihnya menyerahkan diri kepada Allah S.W.T.
“Kalau mahu bermain ragbi, main bersungguh-sungguh; kalau mahu berjaya dalam akademik pun, belajar bersungguh-sungguh juga.
“Kalau kisah kecil ini boleh menjadi pencetus semangat kepada mereka yang masih belajar di bangku sekolah, jadikanlah ia pembakar semangat untuk lebih berusaha tidak kira dalam pelajaran mahupun arena sukan.
“Kena ingat, kalau ragbi nombor satu sekali pun, pencapaian akademik juga mesti nombor satu,” jelasnya lagi.