GEORGE TOWN – Pulau Pinang terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab inovasi dan teknologi serantau menerusi penganjuran program AI Horizon yang dijadual berlangsung pada 7 dan 8 Oktober depan di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), di sini.
Acara berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memasuki tahun kedua penganjuran itu dijangka menghimpunkan kira-kira 200 syarikat berasaskan teknologi terkini, inovasi serta bakat muda dari seluruh negara.
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, inisiatif penganjuran AI Horizon bertujuan meletakkan Pulau Pinang sebagai pusat serantau dalam bidang AI dan teknologi pintar menerusi keupayaan robotik, semikonduktor serta ekonomi digital selain memfokuskan pembangunan bakat dan kerjasama strategik pada peringkat antarabangsa.
“Kita melihat kerjasama antarabangsa yang dicapai Pulau Pinang menerusi pertukaran kepakaran dalam bidang AI, transformasi digital, pembuatan pintar, semikonduktor, robotik dan teknologi masa hadapan mampu melonjakkan negeri ini sebagai kuasa teknologi AI negara.
“Dalam sesi libat urus antarabangsa, AI Horizon turut menjadi platform untuk berkongsi visi dan hala tuju Pulau Pinang dalam membina ekosistem AI dan inovasi yang lebih kukuh.
“Selain itu, kita juga berharap para delegasi dapat menggalakkan syarikat dari negara masing-masing termasuk syarikat multinasional yang mempunyai kepakaran AI untuk menyertai, mempamerkan teknologi serta terlibat dalam AI Horizon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program ‘AI Horizon International Engagement Dialogue Session’ di pejabatnya di Komtar hari ini.
Hadir sama, wakil konsul dan delegasi antarabangsa terdiri daripada pemain industri AI dari Jepun, China, Jerman, Sweden, Ukraine, Finland, Taiwan, India dan Estonia.
Jagdeep yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi berkata, Pulau Pinang mempunyai asas kukuh untuk berkembang sebagai hab AI bukan sahaja di negara ini, malah pada peringkat serantau.
Menurut beliau, perkara itu didorong oleh ekosistem industri yang mantap termasuk kehadiran syarikat multinasional global serta tenaga kerja kejuruteraan dan teknikal berkemahiran tinggi.
“Malah, perkembangan pesat ekonomi digital dan ekosistem inovasi negeri turut menjadi faktor penting dalam mempercepat aspirasi Pulau Pinang sebagai hab AI serantau,” ujarnya.
Tambah beliau, kerjasama antarabangsa amat penting dalam mempercepat aspirasi Pulau Pinang untuk muncul sebagai hab AI dan inovasi di rantau ini.
“Kita berharap dapat membina kerjasama jangka panjang serta peluang penglibatan masa depan bersama organisasi dan negara yang terlibat.
“AI Horizon merupakan platform terbaik untuk membawa inovasi AI ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Terdahulu, dalam sesi dialog tersebut, Jagdeep turut bertukar pandangan selain menerima pelbagai input dan cadangan daripada wakil industri AI dari seluruh negara dalam usaha memajukan teknologi AI di Pulau Pinang.
Teks & Gambar: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN