GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi dalam menunaikan mandat rakyat menerusi pelaksanaan Manifesto Kerajaan Perpaduan Tahun 2023 atau dikenali sebagai ‘MyPenang Manifesto’.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, manifesto yang ditawarkan semasa pilihan raya itu kini telah diangkat sebagai pelan tindakan rasmi Kerajaan Negeri demi memastikan kesejahteraan seluruh rakyat di negeri ini terus terbela.
Menurut beliau, berdasarkan data sehingga 30 April 2026, sebanyak 30 manifesto atau 60 peratus telah berjaya dilaksanakan.
“Selain itu, sebanyak 17 manifesto lagi atau bersamaan 34 peratus kini dalam pelaksanaan, manakala hanya tiga manifesto atau enam peratus masih belum dilaksanakan.
“Kejayaan mencapai 94 peratus status ‘Telah Dilaksanakan’ dan ‘Dalam Pelaksanaan’ membuktikan keberkesanan sinergi serta komitmen barisan kepimpinan Kerajaan Negeri ketika ini,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.


Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Exco Pelaburan dan Perbaduan Masyarakat, Goh Choon Aik serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.
Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak melihat janji melalui ‘MyPenang Manifesto’ yang merangkumi 50 manifesto di bawah 16 tema utama itu sebagai retorik politik semata-mata, sebaliknya merupakan adalah kontrak sosial yang perlu diterjemahkan dalam bentuk pembangunan dan kebajikan yang nyata.
“Apabila mandat diberikan oleh rakyat, manifesto pilihan raya secara rasmi bertukar menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri yang perlu dipikul dengan penuh amanah,” katanya.
Kon Yeow berkata, bagi memastikan setiap janji dipantau secara telus dan berkesan, sebuah papan pemuka digital atau dashboard ‘MyPenang Manifesto’ telah dibangunkan menerusi kerjasama antara Pejabat Ketua Menteri, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri (BTMKN).
“Melalui inisiatif digital ini, pemantauan data dapat dilakukan secara masa nyata (real-time) bagi memastikan setiap agensi pelaksana mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Orang ramai serta pihak berkepentingan boleh melayari pautan https://mypgmanifesto.penang.gov.my untuk mendapatkan maklumat berkaitan perkembangan pelaksanaan manifesto,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa penggunaan teknologi melalui dashboard ‘MyPenang Manifesto’ juga adalah bagi memastikan tiada inisiatif yang tercicir dan setiap sen peruntukan rakyat digunakan mengikut sasaran.
“Fokus kami kini adalah untuk menggerakkan baki tiga manifesto yang belum bermula, di samping memastikan 17 manifesto yang sedang berjalan dapat disiapkan mengikut jadual.
“Kami tekad untuk memberikan laporan yang telus kepada rakyat kerana akauntabiliti adalah asas kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.
Kon Yeow menjelaskan bahawa tiga manifesto yang belum dilaksanakan merangkumi janji penubuhan tabung pembangunan sosial negeri daripada kutipan fi kesihatan perubatan ke atas warga asing bagi manfaat golongan memerlukan; memperkenalkan skim perumahan sewa khas bagi golongan belia atau bujang dan menyediakan Pusat Upacara kiringai di setiap daerah serta membina Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) baharu di Pulau Pinang.
Mengulas mengenai perkara itu, Zi Sen menjelaskan bahawa janji tersebut tidak dapat dilaksanakan buat masa ini kerana berdepan beberapa kekangan termasuk melibatkan aspek punca kuasa dan dasar berkaitan.
“Perkara ini kini sedang disusuli bersama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meneliti kaedah terbaik untuk melaksanakan kutipan fi berkenaan secara menyeluruh dan berkesan.
“Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut mengambil kira situasi semasa memandangkan tahun ini bukan sahaja merupakan Tahun Melawat Malaysia, malah turut diangkat sebagai Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia.
“Oleh itu, strategi promosi pelancongan perubatan sedang digerakkan pada peringkat kebangsaan dan perlu diselaraskan dengan cadangan kutipan fi tersebut supaya tidak menjejaskan usaha menggalakkan sektor pelancongan perubatan negara.
“Walau bagaimanapun, usaha pembangunan sosial negeri tetap diteruskan tanpa perlu menunggu pelaksanaan kutipan fi kesihatan itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sundarajoo memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri kekal komited untuk memperkenalkan skim perumahan sewa khas bagi golongan belia dan bujang di Pulau Pinang.
Beliau memberitahu bahawa beberapa projek perumahan sedia ada seperti di Padang Tembak telah mempunyai unit satu bilik yang kini disewakan kepada golongan bujang.
“Namun begitu, projek khas yang dibina sepenuhnya dengan konsep satu unit satu bilik masih belum dilaksanakan kerana melibatkan faktor kos dan ekonomi pembangunan.
“Sebagai langkah ke hadapan, Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan konsep perkongsian rumah, iaitu unit rumah yang mempunyai tiga bilik boleh didiami oleh tiga individu bujang secara bersama bagi menyediakan pilihan kediaman yang lebih mampu milik dan praktikal.
“Kerajaan Negeri juga merancang untuk mengenal pasti satu blok khas bagi golongan bujang dengan keluasan sekitar 400 kaki persegi bagi setiap unit satu bilik pada masa akan datang,” ujarnya.
Mengenai janji mewujudkan pusat upacara Kiringai, Sundarajoo menyatakan bahawa Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap penyediaan pusat upacara kiringai di setiap daerah di Pulau Pinang.
“Di Daerah Barat Daya, sebuah kuil sedia ada yang telah lama beroperasi dikenal pasti untuk tujuan tersebut, manakala bagi Daerah Timur Laut pula, kemudahan berkaitan telah tersedia di bawah pengurusan Lembaga Wakaf Hindu dan hanya memerlukan penambahbaikan.
“Di Seberang Perai Tengah, pusat berkaitan telah wujud manakala di Seberang Perai Utara, khususnya di Permatang Tinggi, Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan dana serta menyerahkan hak milik tanah kepada pihak kuil.
“Bagi Seberang Perai Selatan pula, pusat upacara telah beroperasi walaupun proses penyerahan hak milik tanah masih berjalan,” jelasnya lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, Sundarajoo memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga sedang merancang pembinaan SJKT ke-29 di Pulau Pinang.
Oleh itu, menurut beliau, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti sebidang tanah seluas empat ekar di kawasan Bagan Dalam bagi tujuan tersebut.
“Malah, melalui Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang, cadangan sedang dikemukakan agar sekolah tersebut bukan sahaja menjadi SJK(T) ke-29, malah berpotensi menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil (SMJKT) pertama di Malaysia.
“Permohonan berkaitan kini sedang diproses bersama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALISSALA THIAN