Bantuan segera – budak 5 tahun korban kebakaran

Admin
PHEE Boon Poh (kiri sekali) bersama Setiausaha Perbandaran, Rozali Mohamud (dua dari kiri) memberi sumbangan kepada ibu mangsa kebakaran.
PHEE Boon Poh (kiri sekali) bersama Setiausaha Perbandaran, Rozali Mohamud (dua dari kiri) memberi sumbangan kepada ibu mangsa kebakaran.

PERMATANG PAUH: Seorang kanak-kanak maut dalam kebakaran yang berlaku di kediamannya, di Permatang Nibong. Kanak-kanak malang tersebut, Mohammad Irfan Abdul Rashid, 5, ditemui dalam keadaan mengerekot dan 70 peratus bahagian badannya rentung di dalam bilik utama rumah mereka selepas anggota bomba dan penyelamat memadam kebakaran tersebut pada 3 April lalu.

Ekoran itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh telah menghulurkan bantuan segera berjumlah RM1,000 kepada keluarga mangsa.

Bantuan kilat ini merupakan dana dari Tabung Bencana Kerajaan Negeri yang ditubuhkan sejak November tahun lalu. Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk mewujudkan tabung ini agar bantuan segera dapat dihulurkan bagi membantu mangsa bencana.

Selain bantuan segera itu, keluarga mangsa juga akan menerima sumbangan RM1,000 dari tabung bencana Tuan Yang Terutama (TYT) dan RM500 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dijangka diberikan dalam tempoh terdekat selepas maklumat lengkap diperoleh,’’ kata beliau.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.50 pagi itu, hanya mangsa bersama ibunya, Noramalina Mat Ariffin, 25, berada di rumah, manakala ayahnya, Abdul Rashid Ismail, 31, pergi ke sawah.