Bantuan segera mangsa ribut

Admin

KEADAAN bumbung salah sebuah kediaman mangsa ribut yang diterbangkan angin baru-baru ini.
KEADAAN bumbung salah sebuah kediaman mangsa ribut yang diterbangkan angin baru-baru ini.

 

SUNGAI ACHEH – Lebih 100 buah rumah rosak akibat ribut yang melanda Pulau Pinang penghujung Mac yang lalu. Hujan lebat beserta tiupan angin kencang lewat malam 28 Mac lalu telah mengakibatkan 23 buah rumah yang terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh yang merangkumi empat buah rumah di Sungai Acheh, tiga buah rumah di Sungai Setar, empat buah rumah di Permatang Keling, tiga buah rumah di Sungai Bakau dan sembilan yang lain di Sungai Chenaam rosak teruk.

Ribut yang melanda dalam tempoh 10 minit telah menyebabkan sebahagian besar penduduk hilang tempat tinggal dan terpaksa menanggung kerosakan yang teruk.

Pegawai Penyelaras DUN Sungai Acheh, Mohd. Kamil Abu Bakar memberitahu bahawa beliau bersama penghulu serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) kawasan yang terbabit turun padang dan hulurkan tangan bagi membantu mangsa ribut berkenaan. Sumbangan dan bantuan sebanyak RM500 ke RM1000 setiap mangsa yang terlibat disampaikan melalui Tabung Bencana Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Menurut jurucakap Jabatan Meteorologi Wilayah Utara, cuaca yang tidak menentu di utara tanah air adalah berikutan peralihan monsun yang berlaku setiap tahun. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan ekoran kejadian ribut tersebut.