Bersama-sama zahirkan rasa cinta kepada negara sempena kempen Bulan Kebangsaan – Ketua Menteri

Admin
Ketua Menteri melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 selepas merasmikan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2023 dekat Jalan Padang Kota Lama (Esplanade) di sini.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru penduduk negeri ini untuk bersama-sama menzahirkan rasa cinta kepada negara sempena kempen Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

Selari dengan tema Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, beliau berkata bahawa penglibatan setiap rakyat di negeri ini adalah sangat penting dalam merancakkan lagi kehangatan sambutan Bulan Kebangsaan.

“Pengisian dan intipati yang disusun sepanjang Bulan Kebangsaan memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej jelas untuk membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Kibaran Jalur Gemilang oleh para hadirin.

“Di peringkat negeri, kita (Kerajaan Negeri) akan menyokong penuh pelbagai program dan aktiviti yang telah dirangka bagi mengisi takwim sepanjang Bulan Kebangsaan ini.

“Justeru, marilah kita bersama-sama merebut peluang untuk menzahirkan semangat dan rasa cinta kepada negara dengan mengambil bahagian dalam acara-acara yang telah disusun ini,” katanya semasa merasmikan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2023 dekat Jalan Padang Kota Lama (Esplanade) di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; barisan ahli Exco Kerajaan Negeri; Ketua Polis Pulau Pinang, Dato’ Khaw Kok Chin serta ramai lagi.

Kon Yeow berkata, kepelbagaian dalam perpaduan yang menjadi aspirasi kepada tema sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini dilihat mampu mendorong tekad dan komitmen semua pihak dalam membangunkan negeri serta negara dengan penuh rasa cinta.

 

“Dengan mengambil kira semangat Madani dan kecintaan terhadap negeri dan negara, berbanggalah dengan Jalur Gemilang walau di manapun kita berada.

“Jalur Gemilang adalah lambang kebanggaan negara serta mampu membangkitkan semangat patriotik dan nasionalisme dalam hati setiap warga Malaysia,” ujarnya yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Kon Yeow menyatakan bahawa kempen Bulan Kebangsaan pada tahun ini amat signifikan kerana pertama kali disambut di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Dengan tema Malaysia Madani, kita berharap agar kempen Bulan Kebangsaan pada tahun ini dapat memulihkan semula kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap negara ini.

“Kita sudah melalui beberapa tahun dalam keadaan ketidakstabilan negara baik dari segi politik mahupun ekonomi dan baru sekarang kita memasuki fasa pemulihan.

“Justeru, kita berharap agar sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia benar-benar dapat memulihkan keyakinan rakyat demi pembangunan negara serta kesejahteraan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Kon Yeow menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada 21 Jabatan Negeri, 19 Jabatan Persekutuan, 11 Agensi Negeri dan 10 Agensi Persekutuan sebagai simbolik bermulanya kempen Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

Beliau kemudiannya turut melancarkan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 yang dibarisi oleh 40 buah kenderaan terdiri daripada agensi awam dan swasta.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : SIEW CHIA EN