Cabutan bertuah hargai pembayar cukai taksiran, bil sewa MBPP

Admin

GEORGE TOWN – Bagi menghargai pembayar-pembayar cukai taksiran dan sewaan di negeri ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menganjurkan Acara Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Tahun 2023 dan Bil Sewa Tahun 2022 yang disiarkan secara strim langsung menerusi Facebook, pagi ini.

 

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran dan Ahli Majlis MBPP, Wong Yuee Harng hadir menyempurnakan 21 cabutan yang dibuat pada acara  tersebut.

 

Cabutan dibuat berdasarkan kepada tiga kategori iaitu Kategori Tunai, Tanpa Tunai dan JomPay yang menawarkan lima hadiah termasuk sebuah komputer riba untuk pemenang tempat pertama; Kategori Tanpa Tunai dan JomPay pula menawarkan 10 hadiah utama dan 90 hadiah saguhati serta Kategori JomPay hadiah utama (6) dan saguhati (144) yang kesemuanya berjumlah RM34,536.

WONG Yuee Harng hadir bagi menyempurnakan acara cabutan bertuah.

Bagi acara kali ini, seramai 42,002 pemilik harta layak menyertai Kategori Tunai, Tanpa Tunai dan JomPay yang menawarkan hadiah berupa e-wallet bernilai RM200 hingga RM1,000 dan sebuah komputer riba untuk pemenang tempat pertama.

 

Manakala Kategori Tanpa Tunai dan JomPay, seramai 38,346 pemilik harta yang layak dengan tawaran hadiah berupa e-wallet (RM200 sehingga RM1,000) dan Kategori JomPay melibatkan 8,222 pemilik harta (hadiah e-wallet RM200 hingga RM1,000).

 

Difahamkan, pemilik-pemilik harta yang telah membayar cukai taksiran setahun untuk Tahun 2023 dan menjelaskan tunggakan, sekiranya ada, sebelum atau pada 28 Februari lalu layak untuk menyertai acara tersebut secara automatik.

 

Bagi pembayaran bil sewa pula, penyewa telah membayar bil bermula 1 November 2022 sehingga 31 Disember 2022 layak menyertai acara ini. 

 

Seramai 428 penyewa layak yang mana 154 penyewa telah diumumkan sebagai pemenang sebelum ini (pra-acara cabutan) dan memenangi hadiah berupa e-wallet bernilai antara RM100 sehingga RM800.

 

Senarai penuh pemenang boleh didapati melalui portal rasmi http://www.mbpp.gov.my/ atau melalui Facebook, https://www.facebook.com/majlisbandaraya.pulaupinang

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MBPP