Imbasan 2010 – Pelaburan

INDUSTRI & PELABURAN – JUMLAH PELABURAN MEMBERANGSANGKAN, PULAU PINANG MELAKAR MASA DEPAN YANG KOMPETATIF

JUMLAH pelaburan yang amat memberangsangkan telah berjaya menobatkan Pulau Pinang sebagai negeri ketiga mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi sehingga Julai 2010. Ini adalah berdasarkan peningkatan sebanyak RM717 juta atau 50 peratus sebulan dengan jumlah pelaburan bernilai RM2.25 bilion berbanding suku pertama tahun 2010, RM1.5 bilion.

Pelaburan di negeri Pulau Pinang telah melonjak dari RM1.53 billion untuk enam bulan pertama ke RM2.25 billion bagi bulan Julai 2010. Dengan kata lain, bagi bulan Julai sahaja, peningkatan pelaburan sebanyak RM716 million telah dicatatkan. Prestasi Pulau Pinang bagi tujuh bulan pertama tahun 2010 adalah lebih baik berbanding tahun 2009 dengan catatan nilai pelaburan RM2.17 billion.

Berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dalam sesawang www.mida.gov.my, Pulau Pinang telah berjaya memperoleh RM2.25 billion bagi Januari hingga Julai 2010, daripada jumlah ini sebanyak RM738 million diperoleh melalui pelaburan domestik manakala sebanyak RM1.51 billion adalah melalui pelaburan asing.

Dengan angka pelaburan terkini, Pulau Pinang kini berada di belakang negeri Johor dan Selangor sebagai negeri yang berjaya menarik pelaburan terbesar di Malaysia. Agensi-agensi seperti ‘Invest Penang’ dan Perbandanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memainkan peranan penting dalam memastikan pelaburan Pulau Pinang tetap kompetatif dan relevan.

Bagi tahun 2010, Kerajaan Negeri mensasarkan untuk memperoleh sekurang-kurangnya RM4.2 bilion nilai pelaburan, iaitu sekali ganda jumlah pelaburan 2009 sebanyak RM2.1 bilion. Bagi memastikan sasaran nilai pelaburan RM4.2 bilion tercapai, Kerajaan Negeri juga melalui ‘Invest Penang’ telah mempelbagaikan aktiviti-aktiviti galakan pelaburan bagi sektor-sektor baru yang berpotensi menjana pulangan yang besar khususnya yang berteknologi tinggi melalui inisiatif awam-swasta.

Bagi memastikan permintaan oleh pelabur asing ke negeri ini dapat dipenuhi, Kerajaan Negeri melalui PDC telah dan sedang meneruskan perancangan mengambil langkah memperluaskan kawasan perindustrian di Seberang Perai. Bagi tujuan ini kawasan seluas 121.86 ekar di Juru, Seberang Perai Tengah sedang dibuat pengambilan balik tanah bagi membolehkan Projek Fasa 1 Taman Sains Pulau Pinang dibangunkan.

Selaras dengan itu, penubuhan Majlis Sains Pulau Pinang (MSPP) atau ‘Penang Science Council’ (PSC) pada 25 Januari 2010 dan Pusat Kerjaya dan Latihan Negeri Pulau Pinang atau ‘Penang Career Assistant and Training (CAT) Centre’ pada 4 Mac 2010 adalah bertepatan dengan dasar Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) untuk memPerkasakan Rakyat dengan ilmu, kepakaran dan kemahiran serta pengetahuan dalam pelbagai bidang terutama lapangan sains dan teknologi.

Objektif utama penubuhan MSPP adalah untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan sains dan teknologi dengan misi untuk menarik minat dan menggalakkan lebih ramai kanak-kanak dan remaja menceburi diri dalam inovasi dan kreativiti. Umumnya, MSPP digerakkan sepenuhnya oleh sektor swasta khususnya syarikat-syarikat multinasional (Multinational Corporation – MNC) untuk memasyarakatkan bidang sains dan teknologi. Bertemakan ‘Ilhamkan Inovasi’, lima teras telah dikenalpasti dan diketuai oleh nama-nama unggul dalam industri seperti Agilent, Motorola, Mini Circuits, Intel dan BBraun. Lima teras tersebut adalah:

  1. Pusat Sains dan Teknologi Pulau Pinang

  2. Sistem Mentor Pengusaha berasaskan saintifik

  3. Galakan dan dorongan melalui pengasuhan industri

  4. Menjana inovasi dan penyelidikan

  5. Sains Kemanusiaan dan Bio-Perubatan

Kelima-lima teras berkenaan diterajui oleh syarikat-syarikat industri mengikut kepakaran dan teknologi masing-masing. Oleh demikian, kewujudan PSC secara tidak langsung dapat membendung kekurangan guna tenaga mahir di Pulau Pinang khususnya.

Selain itu, kesungguhan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat Pulau Pinang menghadapi krisis ekonomi juga telah dizahirkan dengan tertubuhnya ‘Penang CAT Centre’. Sehingga Julai 2010, sebanyak 4,872 kekosongan jawatan dari pelbagai sektor telah dikenalpasti. Malah, seramai 2,795 orang yang mendaftar telah dipadan rujuk kepada majikan-majikan yang menawarkan jawatan-jawatan kosong tersebut. Sehingga Julai 2010 sahaja seramai 3,123 orang telah mendaftarkan diri dengan ‘Penang CAT Centre’.

Dari sudut yang lain pula, penubuhan ‘Penang International Halal Hub’ (PIHH) juga telah berjaya mengembangkan industri halal Pulau Pinang dengan penyertaan syarikat di Taman Industri Halal, Bukit Minyak.  Perjanjian telah dimeteraikan dengan Jeenhuat Foodstuffs Industries Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat tempatan yang mengeluarkan produk makanan laut sejuk beku yang bekerjasama dengan Fujian Dongshan Haikui Aquatic Products Group Co. Ltd. (pengeluar makanan laut sejukbeku yang terbesar di Wilayah Fujian, China). Perjanjian tersebut adalah bagi mewujudkan syarikat bioteknologi marin China yang pertama di Taman Industri Halal dengan kepakaran dalam pengeluaran makanan sejuk beku, eksport serta import makanan laut sejuk beku dan R&D akuakultur bioteknogi dengan nilai pelaburan berjumlah RM150 juta.  Sebanyak 300 peluang pekerjaan akan diwujudkan dalam usaha gabungan ini.