Lydia – ceburi bidang politik demi membela wanita & kanak-kanak mangsa kekejaman

LYDIA Ong Kok Fooi.
LYDIA Ong Kok Fooi.

WAWANCARA : YB ONG KOK FOOI – EXCO BELIA, SUKAN DAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN KOMUNITI

SUARA CAT : Difahamkan bahawa politik telah menjadi darah daging YB sejak di zaman sekolah lagi. Bagaimana ia mempengaruhi penglibatan dan pelaksanaan tugas YB kini.

 KOK FOOI : Politik bukanlah sesuatu yang asing bagi saya. Bermula dengan

status bapa saya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tikam Batu, Kedah, ketika itu, saya telah mula berjinak-jinak dengan bidang ini. Tambahan pula, ketika di zaman persekolahan, saya banyak menghabiskan masa dengan berpersatuan terutamanya yang berkaitan dengan wanita, keluarga dan komuniti setempat. Pendedahan dan pengalaman yang ditimba membuatkan saya lebih berdikari dan berpegang teguh kepada prinsip hidup saya. Selepas tamat tingkatan tiga, saya berkeras untuk memasuki sekolah asrama penuh iaitu Sekolah Menengah Teknik Ipoh, Perak. Bagaimanapun, pendirian ini dihalang oleh bapa saya sehingga memaksa saya mengambil keputusan untuk lari dari rumah dan membuat pendaftaran sendiri untuk memasuki sekolah berkenaan. Dua tahun selepas itu, saya melanjutkan pelajaran di Kolej Damansara Utama (KDU) dan enam bulan kemudian, saya menerima tawaran belajar dari Univerisiti Taiwan di dalam bidang akauntan. Tanpa bantuan kewangan daripada pihak keluarga, saya menanggung sendiri yuran pembelajaran dengan membuat kerja-kerja sambilan sehinggalah tamat pengajian. Faktor-faktor inilah yang membuatkan diri saya lebih kental dan bersedia menghadapi apa jua rintangan mendatang terutamanya di dalam bidang politik.

Menyentuh mengenai pengllibatan poltik, saya menyertai Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2008 selepas lapan tahun bergelar sebagai suri rumahtangga sepenuh masa. Lazimnya, perkara yang mendorong saya untuk menceburi bidang politik adalah untuk membela nasib wanita dan kanak-kanak khususnya yang menjadi mangsa kekejaman atau keganasan rumah tangga.

SUARA CAT : Sebagai Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti serta satu-satunya wanita yang memegang portfolio EXCO Kerajaan Negeri, apakah cabaran terbesar yang dihadapi oleh YB?

KOK FOOI : Menjadi satu-satunya wanita yang dipilih memegang portfolio penting di dalam Kerajaan Negeri langsung tidak menggentarkan saya. Sebaliknya, saya lebih bersemangat membawa pembaharuan kepada masyarakat Pulau Pinang amnya dan kepada belia serta wanita khususnya. Sebagai Exco Belia, saya telah mengendalikan 23 gabungan belia negeri Pulau Pinang. Dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Pulau Pinang, pelbagai aktiviti dan program yang melibatkan belia pelbagai lapisan umur dan kaum telah dilaksanakan sepanjang tahun 2010 ini. Malah setiap tahun, aktiviti dan program yang berkaitan dengan belia semakin bertambah sama ada berkaitan pendidikan, moral, agama, sukan dan lain-lain lagi.

Di bawah portfolio Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri (USPTN) dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) serta 57 persatuan serta pertubuhan berkaitan sukan di Pulau Pinang berganding bahu menganjurkan pelbagai aktiviti kesukanan termasuklah Kejohanan Badminton, Kejohanan Olahraga Remaja, Larian Jambatan Pulau Pinang dan Kejohanan Tenpin Boling. Selain itu, saya juga telah merancang pelbagai aktiviti kesukanan untuk tahun depan dan penyertaan bukan sahaja dari kalangan ahli sukan tempatan malah turut mendapat sambutan di peringkat antarabangsa.

Di bawah portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, terdapat lebih 40 pertubuhan yang bergiat aktif dalam memperkasa wanita, keluarga dan komuniti setempat. Secara keseluruhannya, setiap portfolio yang saya kendalikan mempunyai cabaran dan rintangan yang berbeza namun saya tidak pernah mengenal erti mengalah.

SUARA CAT : Apakah perancangan dan potensi yang YB rencanakan untuk tahun 2011 dalam memantapkan lagi portfolio-protfolio ini?

KOK FOOI : Sebenarnya saya telah merencana pelbagai aktiviti dan program untuksetiap Jawatankuasa. Misalannya, Jawatankuasa Sukan, kami telah merancang pelbagai aktiviti kesukanan untuk tahun 2011 dan telah menerbitkan Kalender Aktiviti untuk tujuan promosi dan penyertaan. Selain itu, misi saya adalah untuk melahirkan warga Pulau Pinang yang seimbang dari segi kesihatan dan kehidupan serta mempromosikan gaya hidup yang sihat dan aktif. Hal ini kerana, untuk melahirkan warga yang seimbang dan harmoni, kita perlu memberi penekanan terhadap aspek gaya hidup. Warga yang sihat adalah warga yang cemerlang dan maju.

SUARA CAT : Apa pandangan YB tentang pengumuman Bajet 2011 baru-baru ini? Adakah YB merasakan perlunya peruntukan yang lebih di dalam pembangunan belia,sukan dan wanita,keluarga dan komuniti, khususnya di Pulau Pinang?

KOK FOOI : Berbanding dengan negeri-negeri lain, peruntukan kepada Pulau Pinang adalah begitu jauh berbeza. Justeru, kita terpaksa menggunakan bajet sedia ada dengan sebaik mungkin bukan hanya untuk kebajikan para atlit malah juga untuk memperlengkapkan kemudahan-kemudahan kompleks sukan serta pusat latihan sedia ada. Sekiranya Kerajaan Negeri memperoleh peruntukan tambahan sebagaimana dipohon, ia akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk menaiktaraf padang hoki, gelanggang tinju dan lain-lain. Pada masa sama, ia juga bagi mengasah bakat atlit sedia ada dan atlit pelapis. Ekoran tiada peruntukan yang mencukupi, kita terpaksa bekerjasama dengan 57 persatuan sukan dan syarikat-syarikat korporat melalui projek tanggungjawab sosial korporat (CSR). Pada masa sama, hasil inisiatif Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, tabung RM1 untuk 1 Sukan turut dilancarkan pada 16 Oktober 2010.