PULAU BETONG – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia menyumbang sebuah jentera penuaian ringan bagi menyokong pelaksanaan projek perintis padi ratun di Balik Pulau, selain komited membawa isu berkaitan kelulusan dan pelaksanaannya hingga peringkat Persekutuan sekiranya diperlukan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, komitmen tersebut penting bagi memastikan projek yang telah diusahakan hampir dua tahun itu dapat diterus dan diperkembang, meskipun berdepan pelbagai kekangan serta cabaran teknikal.

Menurut beliau, cadangan sumbangan sebuah jentera ringan itu bertujuan memastikan proses penuaian tidak merosakkan tunggul padi yang masih diperlukan untuk pertumbuhan semula bagi tuaian berikutnya.
“Kalau jentera, sebuah jentera yang diperlukan, saya rasa Dato’ Rashidi (Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan) tidak ada halangan sekiranya saya bersetuju untuk menyumbangkan sebuah jentera ringan bagi digunakan dalam projek perintis ini.
“Bagi isu-isu lain, kita akan bincangkan bagaimana untuk menanganinya sehingga kita berjaya.
“Kita sudah menghabiskan masa dua tahun, dan saya tidak mahu mengecewakan rakan strategik kita dari Fujian yang berulang-alik menghantar pakar ke sini bagi menjayakan projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengesahan Hasil Ujian Petak Sawah Projek Perintis Padi Ratun di sini pada 31 Oktober 2026.
Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Wanita Mutiara Pulau Pinang, YABhg. Puan Tan Lean Kee; Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol; Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik; Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Pulau Pinang, Zhou Youbin; Presiden Persatuan Usahawan Cina Pulau Pinang (CEA), Dr. Lee Eng Wah; Profesor Universiti Pertanian dan Perhutanan Fujian merangkap pakar bertanggungjawab bagi Malaysia Penang Specialty Crops Agro-Tech Hub, Zhang Zhixing serta Pengerusi Huamin Digital & Intelligent (Fujian) Technology Co. Ltd., Wang Tianman.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri bersedia membawa perkara berkaitan kelulusan projek berkenaan ke peringkat lebih tinggi, termasuk Kementerian dan Perdana Menteri sekiranya masih terdapat halangan untuk meneruskan inisiatif tersebut.
“Diharapkan semua agensi dapat meneliti dengan rapi, sekiranya masih terdapat kekangan dari segi kelulusan, saya bersama Dato’ Rashidi dan YB Goh (Choon Aik) bersedia membawa perkara ini ke peringkat Perdana Menteri bagi mendapatkan perhatian dan pertimbangan sewajarnya.
“Kita perlu menilai potensi kaedah ini dan tidak seharusnya menolak peluang untuk mencubanya.
“Walaupun hasil yang diperoleh masih belum mencapai piawaian di Fujian, projek perintis ini telah membuktikan bahawa kaedah padi ratun boleh dilaksanakan dan menghasilkan tuaian,” ujarnya.
Mengulas mengenai hasil projek perintis berkenaan, Kon Yeow menyatakan bahawa ujian tersebut membuktikan kaedah padi ratun berpotensi dilaksanakan di Balik Pulau, sekali gus membuka ruang kepada pengeluaran beberapa tuaian daripada satu kitaran penanaman.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa berbeza dengan kaedah penanaman konvensional yang lazimnya menghasilkan satu tuaian bagi setiap musim, padi ratun membolehkan tunas baharu tumbuh daripada tunggul selepas tuaian pertama untuk menghasilkan tuaian seterusnya.
“Malah, berdasarkan perkongsian kepakaran dari Fujian, China, kaedah berkenaan berpotensi menghasilkan sehingga tiga atau empat tuaian daripada satu kali penanaman, tertakluk kepada kesesuaian keadaan setempat.
Walau bagaimanapun, menurut Kon Yeow, hasil tuaian projek di Balik Pulau masih dianggarkan 20 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pencapaian di Fujian, susulan beberapa perbezaan dari segi varieti benih, pengurusan air dan penggunaan jentera.
“Antara penambahbaikan yang dikenal pasti termasuk menguji varieti benih padi yang bersesuaian, merancang sistem pengairan mengikut keadaan cuaca tempatan serta menggunakan jentera lebih ringan bagi mengelakkan kerosakan tunggul padi.
“Di Fujian, keadaan sawah lebih kering ketika musim menuai, sedangkan di sini kita masih berdepan keadaan sawah yang mempunyai banyak air apabila memasuki musim hujan pada penghujung tahun.
“Namun, kita juga mempunyai kelebihan kerana tidak mengalami musim sejuk seperti di China. Ini bermakna penanaman padi boleh dijalankan sepanjang tahun sekiranya pengurusan tanaman dan sistem pengairan dirancang dengan baik,” tambahnya.
Menjawab pertanyaan lanjut mengenai hala tuju projek berkenaan, Kon Yeow berkata bahawa agensi berkaitan perlu menentukan sama ada kaedah padi ratun yang telah diuji hampir dua tahun itu wajar diteruskan dan diperluaskan, dengan penglibatan pegawai pertanian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
“Lawatan ke tapak projek membuktikan sendiri bahawa kaedah berkenaan boleh dilaksanakan dan menghasilkan tuaian, meskipun pencapaiannya masih belum menyamai piawaian di Fujian.
“Bagi saya, lawatan hari ini membuktikan kaedah ini boleh digunakan, dan ini pertama kali saya menyaksikannya sendiri, justeru, saya dapat mengesahkan bahawa kaedah ini boleh diguna pakai dan berhasil, cuma hasilnya belum mencapai piawaian yang ditetapkan di sana.
“Jadi, agensi kita perlu membuat satu keputusan sama ada mahu atau tidak meneruskan usaha ini.
“Sekiranya mahu dilaksanakan secara lebih meluas, kita perlu menangani isu berkaitan baja, benih, jentera, sistem perparitan serta penyesuaian musim penanaman,” ulasnya lanjut.

Serentak majlis sama, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada CEA yang menggerakkan inisiatif berkenaan sejak hampir dua tahun lalu meskipun berdepan kekangan sumber dan pelbagai cabaran.
Selain itu, Kon Yeow turut menghargai kerjasama Universiti Pertanian dan Perhutanan Fujian yang berkongsi kepakaran serta membantu pelaksanaan projek berkenaan, selain berharap hubungan Malaysia-China dapat membuka lebih banyak peluang dalam bidang teknologi pertanian, penyelidikan dan pemindahan teknologi.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : ALISSALA THIAN