Perkasakan peranan FSP tangani keganasan rumah tangga – ADUN

Admin
img 7794 SEKALIAN urus setia penganjur, penceramah, fasilitator dan peserta yang menyertai Bengkel Latihan First Support Point (FSP) Dasar Keluarga Selamat (DKS) anjuran Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), menunjukkan isyarat hentikan keganasan rumah tangga, semasa sesi bergambar kenang-kenangan di Cititel Penang Hotel, George Town pada 31 Oktober 2026.

GEORGE TOWN – Keganasan rumah tangga sering berlaku secara tersembunyi di sebalik pintu kediaman yang tertutup rapat, sekali gus memberi impak besar terhadap fizikal dan emosi mangsa serta seluruh ahli keluarga yang terlibat.

img 7772
PHEE Syn Tze

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 349 kes keganasan rumah tangga di Pulau Pinang sepanjang tahun 2025, manakala 157 kes lagi dilaporkan sehingga Jun 2026.

“Angka ini bersamaan dengan purata hampir satu kes sehari, namun kita perlu sedar bahawa jumlah ini hanya melibatkan kes yang dilaporkan, sedangkan jumlah sebenar kes yang tidak dilaporkan masih tidak diketahui,” katanya ketika berucap dalam Bengkel Latihan First Support Point (FSP) Dasar Keluarga Selamat (DKS) anjuran Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) di sini pada 31 Oktober 2026.

img 7771
ONG Bee Leng (kiri) mengiringi Phee Syn Tze (tengah) menyerahkan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta Bengkel Latihan ‘First Support Point’ (FSP) Dasar Keluarga Selamat (DKS) di sini sebentar tadi.

Syn Tze menjelaskan bahawa penderitaan, ketakutan dan tekanan yang ditanggung bukan sahaja menjejaskan mangsa, malah turut memberi kesan mendalam terhadap anak-anak.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri memperkenalkan DKS pada tahun 2020 sebagai platform untuk memperluas akses kepada bantuan dan sokongan kepada mangsa, selain saluran sedia ada, dan dasar berkenaan kekal relevan sehingga kini.

Menurutnya, FSP diperkenalkan sebagai salah satu strategi utama di bawah DKS bagi bertindak sebagai titik hubungan pertama untuk mengenal pasti keperluan mangsa dan merujuk mereka kepada agensi berkaitan.

“Sehingga kini, lebih 500 FSP telah dilatih, merangkumi penghulu, pegawai seranta pusat khidmat ADUN dan Ahli Parlimen, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK), pertubuhan agama serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya.

Mengulas penganjuran bengkel tersebut, beliau berkata, empat siri latihan telah dilaksanakan sepanjang Oktober ini, iaitu pada 14, 21, 24 dan 31 Oktober di kawasan Pulau dan Seberang Perai dengan penyertaan keseluruhan seramai 110 peserta.

Latihan berkenaan bertujuan melengkapkan pemimpin komuniti dengan kemahiran mengendalikan kes, termasuk memberikan respons yang sesuai, mengenal pasti perkara yang perlu dielakkan serta memahami saluran rujukan yang betul.

img 7775img 7776Dalam pada itu, Syn Tze mengingatkan masyarakat bahawa keganasan rumah tangga merupakan isu serius yang memerlukan tindakan segera, dengan perlindungan kepada mangsa diperuntukkan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) yang dibaca bersama Kanun Keseksaan.

“Akta ini terpakai kepada semua orang di Malaysia tanpa mengira jantina, kaum atau agama.

“Jangan berdiam diri atau berpeluk tubuh sekiranya mengetahui ada jiran, rakan atau ahli keluarga yang menjadi mangsa.

“Keluarga yang selamat bermula daripada komuniti yang prihatin, marilah kita jadikan setiap daripada kita sebagai FSP,” tegas beliau.

Bengkel latihan berkenaan turut dihadiri Ketua Pegawai PWDC, Dato’ Ong Bee Leng serta dikendalikan oleh barisan penceramah dan fasilitator, iaitu Pegawai Program Kanan PWDC, Dr. Kelvin Ying; Pengurus Program PWDC, Hasanah Akhir dan Jurucakap FSP Machang Bubuk, Zuriani Mat Zain.

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB