GEORGE TOWN – Skuad wushu Pulau Pinang menerima suntikan semangat menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 apabila Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyempurnakan penyerahan bendera negeri sebagai simbolik pelepasan rasmi pasukan yang bakal membawa cabaran Pulau Pinang di pentas kebangsaan.
Pada majlis tersebut, Kon Yeow menyatakan harapan agar semua atlet dapat mempamerkan persembahan terbaik dengan mengekalkan disiplin, semangat berpasukan dan daya juang tinggi selain menjadikan setiap cabaran di gelanggang sebagai peluang membuktikan kemampuan serta hasil latihan yang telah dilalui.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa skuad wushu mampu meneruskan reputasi cemerlang sebagai antara penyumbang pingat berharga kepada kontinjen Pulau Pinang pada temasya kali ini.

Sementara itu, Pengurus Pasukan, Khor Hun Chong ketika ditemui berkata, skuad wushu Pulau Pinang berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik dan optimis mampu menyumbang pingat berharga bagi membantu kontinjen negeri merealisasikan sasaran membawa pulang 60 pingat emas pada SUKMA kali ini.
Menurut beliau, meskipun pada temasya SUKMA kali ini hanya 20 kategori dipertandingkan, pasukannya tetap meletakkan sasaran untuk meraih pingat menerusi acara nanquan, sanshou 60 kilogram serta gabungan daoshu dan gunshu.
Majlis penyerahan bendera itu turut disemarakkan dengan laungan slogan ‘Penang… Eyes On Gold!’, sekali gus membakar semangat atlet dan pegawai pasukan untuk memburu kejayaan demi negeri.
Turut hadir pada majlis tersebut, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Wushu, Tarian Singa dan Naga Negeri Pulau Pinang, Dato’ Hng Ban Choon; Timbalan Presiden, Ong Beng Soon, Pengurus Pasukan, Chai Chin Yong; jurulatih, Zhang Xiaoyan, Chan Lu Qi dan Seah Zhang Yu.
Pada SUKMA XXI Sarawak 2024, skuad wushu Pulau Pinang muncul sebagai antara penyumbang utama pingat dengan membawa pulang empat pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa. Kejayaan tersebut turut menyaksikan atlet-atlet wushu negeri menguasai beberapa acara taolu pada temasya yang lalu.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: ALISSALA THIAN