BAGAN DALAM – Akta Orang-Orang Papa 1977 sedia ada perlu dipinda dan diteliti semula bagi memberikan punca kuasa yang lebih jelas, inklusif dan komprehensif kepada pelbagai agensi berkaitan dalam menangani isu gelandangan bandar secara lebih berkesan dan holistik.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, kelemahan dalam perundangan sedia ada menyukarkan koordinasi antara agensi berikutan punca kuasanya yang tidak jelas dan terhad.
Menurut Siew Khim, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, penambahbaikan atau penggubalan akta baharu amat diperlukan bagi memastikan setiap agensi yang terlibat sama ada dalam aspek kebajikan, kesihatan, keselamatan mahupun pendaftaran, dapat memainkan peranan masing-masing secara lebih optimum dan bersepadu.
“Kerjasama antara agensi adalah perkara utama kerana punca kuasa berdasarkan Akta Orang-Orang Papa sedia ada ketika ini tidak jelas dan tidak cukup inklusif.
“Jadi, dengan adanya akta baharu, operasi bersepadu menyelamatkan gelandangan bandar akan menjadi lebih komprehensif dan setiap agensi boleh memainkan peranan masing-masing dengan lebih berkesan,” katanya pada sidang media bersama ADUN Bagan Dalam, K. Kumaran di Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi di sini semalam.

Mengulas lanjut, Siew Khim berkata bahawa kelemahan akta sedia ada jelas kelihatan apabila isu gelandangan pada masa ini tidak lagi sekadar melibatkan masalah kemiskinan di bawah bidang kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebaliknya turut merangkumi isu kesihatan mental, penyalahgunaan dadah, status kewarganegaraan dan pencerobohan warga asing.
Tanpa punca kuasa khusus yang merangkumi pelbagai agensi, katanya, tindakan yang bertindih atau lompang perundangan sering berlaku ketika operasi bersepadu menyelamatkan gelandangan dilaksanakan di negeri ini, sama ada di bahagian pulau mahupun Seberang Perai.
Ketika ditanya lanjut, beliau memaklumkan bahawa kejayaan Operasi Bersepadu Menyelamatkan Gelandangan di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Dalam menyaksikan seramai 29 gelandangan berjaya diselamatkan.
Siew Khim menegaskan bahawa operasi serentak itu tidak akan berjaya tanpa komitmen 135 anggota daripada pelbagai agensi, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai agar mengubah pendekatan dalam memberi bantuan dan tidak menyalurkan sedekah secara terus di tempat terbuka.
“Saya faham orang ramai ini baik hati, tetapi memberi sedekah dengan cara yang tidak betul hanya akan mendatangkan kesan sampingan.
“Sekiranya anda memberi sedekah sedemikian, ia akan menyebabkan lebih ramai gelandangan berkeliaran dan mengemis di jalanan.
“Bantuan sepatutnya disalurkan menerusi platform yang betul,” tegasnya.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN