Lebih 600 pembeli rumah bakal terbela, projek Sri Bayu dan Quinton disambung semula

Admin
img 20261104 wa0039

GEORGE TOWN – Nasib lebih 600 pembeli rumah yang terjejas akibat kelewatan projek perumahan Sri Bayu dan Quinton bakal terbela apabila kerja-kerja pembinaan semula kedua-dua projek berkenaan dijangka bermula pada penghujung Disember ini.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) telah mengambil langkah proaktif dengan meneroka kerjasama strategik bersama sektor swasta bagi memulihkan projek perumahan yang sebelum ini tertangguh.

Menurutnya, perjanjian pemulihan telah ditandatangani dengan Mah Sing Group Berhad selaku rakan pembiayaan pada 30 Januari lalu, sekali gus membuka laluan kepada usaha menyambung semula kedua-dua projek berkenaan.

“Berdasarkan perkembangan terkini, kerja-kerja pembinaan semula dijangka bermula pada penghujung Disember tahun ini dan mengambil masa kira-kira 12 bulan untuk disiapkan selepas projek disambung semula,” katanya ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15, di sini, sebentar tadi.

Sundarajoo berkata, pendekatan kerjasama awam-swasta turut membuktikan keberkesanannya dalam menangani isu penempatan penduduk Kampung Ujong Batu, Butterworth, yang berlarutan lebih 60 tahun.

Menerusi kerjasama antara LPNPP dengan Paramount Property, katanya, seramai 268 penduduk asal yang memenuhi syarat kelayakan akan menerima sebuah rumah secara percuma di bawah pembangunan Rumah MutiaraKu (RMKu).

“Setiap penerima akan memperoleh sebuah rumah berkeluasan 750 kaki persegi, lengkap dengan kemudahan parkir dan bernilai RM100,000 seunit.

“Langkah ini dijangka menyelesaikan masalah sosial yang telah berlarutan di kawasan berkenaan selama puluhan tahun,” katanya.

Sementara itu, menyentuh isu lambakan hartanah kediaman, Sundarajoo memaklumkan bahawa Pulau Pinang merekodkan sebanyak 3,114 unit rumah siap dibina tetapi masih belum terjual, melibatkan pelbagai kategori harga.

Beliau berkata, berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) bagi separuh pertama 2026, sebanyak 6,979 transaksi hartanah kediaman direkodkan di Pulau Pinang dengan nilai keseluruhan RM3.19 bilion.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,189 transaksi melibatkan kediaman berharga di bawah RM300,000.

Menurutnya, daripada keseluruhan unit kediaman siap dibina yang masih belum terjual, sebanyak 1,603 unit atau 51.5 peratus merupakan rumah berharga RM500,000 dan ke bawah.

“Manakala, sebanyak 299 unit kediaman berharga RM1 juta dan ke atas masih belum terjual, mewakili 9.6 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.

Beliau menjelaskan bahawa angka berkenaan menunjukkan isu lambakan hartanah kediaman di Pulau Pinang tidak hanya tertumpu kepada satu segmen harga, sebaliknya melibatkan pelbagai kategori kediaman.

Justeru, usaha menangani cabaran sektor perumahan perlu mengambil kira pelbagai aspek, termasuk pemulihan projek perumahan sakit, penyelesaian isu penempatan penduduk yang berlarutan serta keseimbangan antara penawaran dengan permintaan hartanah bagi memastikan keperluan perumahan rakyat terus diberi perhatian.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT