GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri masih menunggu hasil siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang berhubung kejadian tanah runtuh di Lebuh Rambai 13, Paya Terubong pada 25 Oktober lalu yang mengorbankan seorang penduduk sebelum kerja-kerja mitigasi dan penstabilan tapak dapat dimulakan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 4 November 2026.
Menurut beliau, siasatan JKKP merangkumi aspek pembinaan, reka bentuk serta pematuhan terhadap peraturan berkaitan, selain mendapatkan maklumat dan keterangan daripada pihak pemaju, kontraktor serta perunding yang terlibat.
Pihak JKKP telah mengadakan perbincangan dengan jurutera perunding awam, perunding geoteknikal, pemaju dan kontraktor pada 3 November 2026 bagi memahami punca sebenar kejadian serta mencadangkan langkah mitigasi dan penstabilan tapak yang bersesuaian.
“Buat masa ini, kita masih menunggu keputusan siasatan daripada pihak JKKP sebelum segala kerja-kerja mitigasi dan kerja-kerja di tapak boleh dimulakan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.
Mengulas pemeriksaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada Ogos lalu, beliau menjelaskan bahawa arahan henti kerja hanya dikeluarkan sekiranya kerja-kerja kritikal pembangunan di tapak didapati tidak selaras dengan pelan yang diluluskan serta syarat-syarat kelulusan ditetapkan.
“Hasil pemeriksaan ketika itu menyaksikan surat peringatan dikeluarkan kepada jurutera perunding yang dilantik pemaju, merangkumi teguran dan arahan penambahbaikan berkaitan kawalan pencemaran, penyelenggaraan komponen kawalan hakisan dan kelodak (ESCP) serta perlindungan cerun yang telah disentuh atau dipotong,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembangunan di kawasan melebihi kontur 76 meter dan cerun 25 darjah tidak diluluskan secara automatik, sebaliknya perlu melalui pertimbangan Jawatankuasa Perancang Negeri serta penilaian teknikal berkaitan.
Dalam perkembangan berkaitan infrastruktur, Mooi Lye memaklumkan bahawa beberapa langkah penambahbaikan jalan telah disyaratkan kepada pemaju melalui kelulusan pembangunan bagi menangani kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir dan Jalan Kubang Menerong.
Antara langkah tersebut, katanya, termasuk pelebaran Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir kepada lapan lorong dari Plaza Tol Bertam hingga Lebuh Bertam Perdana serta dari Lebuh Bertam Perdana hingga Jalan Mekar Sari 1.
“Turut dirancang adalah pembinaan jejambat di Persimpangan Plaza Tol Bertam, pembinaan tanjakan berarah dari Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir ke kawasan pembangunan Setia Fontaines, pelebaran Jalan Kubang Menerong kepada enam lorong serta naik taraf dan penyediaan sambungan Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir ke Jalan Paya Keladi,” jelasnya lanjut.
Tambahnya, penilaian impak lalu lintas turut dilaksanakan dengan mengambil kira kapasiti jalan, tahap perkhidmatan, prestasi persimpangan dan kesan kumulatif pembangunan sekitar.
Sementara itu, mengulas mengenai projek Gurney Bay bernilai RM179 juta, Mooi Lye memberitahu bahawa projek berkenaan masih belum siap sepenuhnya dan dijangka beroperasi secara menyeluruh pada 2027.
“Beberapa perkara masih di bawah tanggungjawab kontraktor, termasuk kerja pembaikan kecacatan, ketidakpatuhan kerja, pemasangan dan pengujian sistem elektrikal serta kerja-kerja landskap,” katanya.
Bagi menangani kerja-kerja tertangguh, Mooi Lye menegaskan bahawa kontraktor pihak ketiga telah dilantik untuk menyelesaikan kerja yang gagal disempurnakan tanpa melibatkan peruntukan tambahan daripada Kerajaan Negeri.
Selain itu, jelasnya, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) akan menyediakan Pelan Induk Pembangunan Komersial Gurney Bay bagi mewujudkan sumber pendapatan mampan melalui aktiviti komersial dan penjanaan hasil daripada aset yang dibangunkan.
“Langkah tersebut bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan Kerajaan Negeri bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan, tanpa menjejaskan fungsi utama Gurney Bay sebagai ruang rekreasi dan kawasan awam untuk dinikmati rakyat,” katanya lagi.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: ALISSALA THIAN