Pendirian berubah selepas digigit anjing liar

BAYAN BARU – Jururawat, D. Mangaleswari, 28, merupakan pencinta haiwan dan merupakan salah seorang yang menentang sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan Negeri menakai (culling) anjinganjing liar ekoran penularan wabak anjing gila atau rabies di negeri ini.

Namun, pendirian beliau berubah apabila dirinya sendiri menjadi mangsa gigitan anjing liar dalam kejadian 22 September lalu di luar sebuah premis runcit berhampiran Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor.

“Ketika sampai di tempat kejadian, saya turun dari kereta dan berjalan menuju ke kedai (runcit) untuk membeli kad pra bayar telefon, namun, didapati (kedai runcit) tutup.

“Sambil berjalan kembali ke kereta, tibatiba datang tiga ekor anjing. Saya ingatkan ia ingin ‘bermain’ dengan saya, namun, dengan tiba-tiba, ia bertindak menyerang saya. Salah seekor anjing itu menggigit paha kanan saya dan selepas gigit, ia masih menyerang saya.

“Kebetulan ketika itu, beberapa kanakkanak yang sedang bermain di taman permainan berhampiran menghalau anjinganjing berkenaan,” katanya yang mendapat rawatan di sebuah hospital swasta kepada pihak media di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut mengadakan lawatan terhadap Mangaleswari.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan.

Mengulas lanjut, Mangaleswari menyatakan bahawa beliau adalah bernasib baik kerana hasil rawatan mendapati dirinya negatif wabak rabies.

“Anjing yang menggigit saya masih belum berjaya ditangkap. “Saya mengakui bahawa saya seorang yang cintakan haiwan, namun atas kepentingan umum, tindakan Kerajaan Negeri dalam membasmi jangkitan wabak rabies adalah wajar disokong,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Guan Eng membidas sebuah akhbar perdana berbahasa Melayu yang bertindak menjadikan isu wabak rabies sebagai modal politik.

“Saya ingin nasihatkan akhbar berkenaan supaya tidak mengaitkan isu politik berkenaan masalah rabies ini. Adakah mereka akan bertanggungjawab sekiranya terdapat kes-kes yang serius terjadi kepada mangsa gigitan anjing gila?

“Saya amat marah kerana saya lihat suratkhabar ini cuba memperjudikan nyawa manusia dalam isu ini. Jangan main-main dalam hal ini,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Afif menasihatkan para pemilik anjing supaya selalu menjaga kebersihan persekitaran seperti bekas makanan binatang peliharaan masingmasing.

“Paling utama ialah kurung anjing dalam keadaan selamat serta elakkan peliharaan daripada bebas ke mana-mana,” seru beliau.