GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan kerja delegasi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia di pejabatnya di Komtar bagi membincangkan hala tuju pembangunan pasaran modal negara, pembiayaan projek kelestarian serta potensi kerjasama strategik melibatkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Delegasi yang dipimpin oleh Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi antara lain membincangkan potensi Pulau Pinang dalam agenda pembangunan pasaran modal negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Dalam pertemuan selama kira-kira sejam itu, Mohammad Faiz memaklumkan bahawa Pulau Pinang dilihat memiliki kedudukan strategik dalam ekosistem semikonduktor, teknologi maju serta pembangunan bandar mampan yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan pasaran modal negara dalam jangka panjang.

Selain itu, beliau juga berkongsi mengenai keperluan pembiayaan projek berkaitan perubahan iklim dan adaptasi bandar di Pulau Pinang termasuk usaha mitigasi banjir, pengurusan air, pembangunan tenaga boleh diperbaharu, sistem tebatan pantai serta perancangan bandar yang lebih lestari susulan cabaran perubahan cuaca global.
Menurut beliau, pendekatan ‘blended finance’ yang menggabungkan dana kerajaan, pelaburan swasta, dana konsesi dan instrumen sosial boleh menjadi antara mekanisme penting bagi membantu membiayai projek-projek kelestarian yang sukar menarik pelaburan komersial secara konvensional.
Mohammad Faiz turut mengiktiraf Pulau Pinang sebagai antara negeri yang aktif membangunkan ekosistem syarikat berteknologi tinggi dan semikonduktor dengan lebih 100 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, selain beberapa syarikat baharu yang dijangka menuju penyenaraian awam dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Selain itu, beliau turut menyentuh usaha memperkukuh pasaran modal Islam dan pembangunan tanah wakaf secara lebih produktif, selain memuji beberapa inisiatif Pulau Pinang berkaitan pengurusan wakaf, pembangunan mampan serta pengukuhan ekosistem ekonomi negeri yang dilihat selari dengan agenda pembangunan jangka panjang negara.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang meneroka potensi pembentukan mekanisme pembiayaan sosial bagi membantu komuniti rentan selain memperluas akses pembiayaan kepada syarikat tempatan seperti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui akses pembiayaan lebih meluas menerusi ekuiti persendirian, modal teroka, pasaran bon serta platform penyenaraian.
Dalam pada itu, Mohammad Faiz memaklumkan bahawa pihaknya kini giat mempercepat proses pendigitalan serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam urusan kawal selia termasuk proses penyenaraian syarikat awam permulaan (IPO) bagi mempercepat tempoh kelulusan serta meningkatkan kecekapan pasaran.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohammed; Pengarah Eksekutif Kewangan Korporat dan Pelaburan SC, Datuk Zain Azhari Mazlan; Pengarah Eksekutif Strategi Digital dan Inovasi SC, Dr. Wong Huei Ching; Penasihat Khas SC, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid; Ketua Kewangan Kemampanan SC, Neetasha Rauf serta Pengarah Pembangunan Pasaran SC, Shahrul Amry Abd Malek.
Difahamkan, delegasi SC dan Bursa Malaysia dalam rangka lawatan ke Pulau Pinang selama dua hari bermula semalam bagi mninjau lebih dekat perkembangan sektor semikonduktor selain mengadakan pertemuan dengan para pelabur dan meneroka peluang kerjasama strategik yang boleh memanfaatkan pembangunan industri.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LAW SUUN TING