SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dicadangkan melaksanakan inventori menyeluruh terhadap pondok telefon awam terbiar serta menyelaras tindakan bersama Telekom Malaysia (TM) dan syarikat telekomunikasi bagi memastikan kemudahan berkenaan tidak terus mencacatkan imej bandar.
Ahli Majlis bagi MBSP, K. Yoganraj Thever berkata, perubahan teknologi dan penggunaan telefon pintar secara meluas menyebabkan kebanyakan pondok telefon awam tidak lagi digunakan, malah sebahagiannya dibiarkan tanpa penyelenggaraan oleh pemilik.
Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan landskap bandar, malah menimbulkan masalah keselamatan dan kebersihan apabila pondok telefon terbiar menghalang laluan pejalan kaki serta menjadi tempat pembiakan nyamuk dan pembuangan sampah.
“Pondok telefon yang terbiar ada yang menghalang laluan pejalan kaki, menyukarkan warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).
“Keadaan ini perlu ditangani secara sistematik kerana kita mahu memastikan setiap ruang awam di Seberang Perai bersih, selamat dan mesra pengguna,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan sempena Mesyuarat Majlis Penuh MBSP Ke-629 Bil. 11/2026 di Dewan Kenangan, Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan MBSP mengenal pasti semua pondok telefon terbiar dengan merekodkan lokasi, keadaan fizikal dan pemiliknya sebelum mengadakan penyelarasan rasmi bersama TM serta syarikat telekomunikasi berkaitan.
Katanya, bagi pondok telefon yang tidak lagi digunakan, pemilik perlu memberikan komitmen serta jadual penanggalan dalam tempoh 60 hingga 90 hari, selain pemantauan berkala bagi memastikan tindakan dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, beliau turut mencadangkan supaya pondok telefon yang masih berpotensi dimanfaatkan tidak semestinya ditanggalkan, sebaliknya diberikan fungsi baharu menerusi pendekatan guna semula atau upcycling.
Antara idea yang dikemukakan termasuk menjadikannya pondok panggilan kecemasan yang menghubungkan orang awam kepada talian 999 atau MBSP, hotspot Wi-Fi percuma, pustaka komuniti mini, stesen pengecas telefon berkuasa solar serta titik maklumat komuniti dengan kod QR bagi akses kepada perkhidmatan MBSP.
“MBSP sudah dikenali dengan inisiatif kitar semula dan upcycling.
“Semangat yang sama boleh kita terapkan kepada pondok telefon ini dengan memberikan fungsi baharu yang membawa manfaat kepada masyarakat.
“Satu pondok terbiar ialah masalah, tetapi satu pondok yang dihidupkan semula boleh menjadi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan pelaksanaan model “Pondok Angkat” yang membolehkan sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat atau persatuan penduduk mengambil tanggungjawab menjaga dan menyelenggara pondok telefon menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Dalam pada itu, Yoganraj menegaskan bahawa kerja penanggalan pondok telefon perlu disusuli dengan pemulihan kawasan bagi memastikan kaki lima dibaiki dan diratakan, laluan pejalan kaki bebas halangan serta sisa struktur dan kabel dibersihkan sepenuhnya.
Katanya, MBSP juga wajar meneliti tindakan susulan mengikut kuasa perundangan, termasuk tuntutan kos sekiranya dibenarkan, terhadap pemilik yang gagal mengambil tindakan selepas notis dikeluarkan.
Beliau berharap pihak pengurusan MBSP dapat mempertimbangkan cadangan berkenaan dan mengarahkan jabatan berkaitan memulakan inventori serta penyelarasan dengan TM dan syarikat telekomunikasi terlibat.
“Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan, tanggungjawab kita bukan sekadar menjaga jalan dan longkang, tetapi memastikan setiap ruang awam bersih, selamat dan tidak terbiar.
“Apa yang tidak lagi diperlukan, kita tanggalkan dengan teratur atau kita berikan fungsi baharu,” katanya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN