SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menawarkan peluang kepada pembayar cukai taksiran untuk memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai sehingga RM8,888 dan jongkong emas menerusi Promosi Bayaran Cukai Taksiran Penggal Pertama 2027.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, promosi berkenaan akan berlangsung mulai 1 Disember 2026 hingga 28 Februari 2027 bagi menggalakkan pemilik pegangan menjelaskan cukai taksiran masing-masing mengikut tempoh ditetapkan.
Menurutnya, pembayar cukai yang membuat pembayaran penuh cukai taksiran tahun 2027 berserta tunggakan, sekiranya ada, melalui saluran pembayaran yang ditetapkan layak menyertai cabutan bertuah bagi merebut 60 hadiah wang tunai tajaan MBSP.
“Hadiah utama yang ditawarkan ialah RM8,888, diikuti RM5,000 bagi tempat kedua, RM4,000 bagi tempat ketiga dan RM3,000 bagi tempat keempat, selain pelbagai hadiah wang tunai lain sehingga tempat ke-60.
“Promosi ini bukan sahaja memberi peluang kepada pembayar cukai memenangi hadiah menarik, malah menggalakkan budaya pembayaran cukai taksiran secara teratur dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh MBSP Ke-629 Bil. 11/2026 di Dewan Kenangan, Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.
Beliau berkata, pembayaran yang layak menyertai cabutan bertuah boleh dibuat melalui saluran dalam talian, kiosk atau agensi kutipan yang dilantik MBSP, termasuk portal eBayar Penang, JomPAY, perbankan internet dan aplikasi pembayaran digital.
Lebih menarik, promosi kali ini turut menampilkan cabutan bertuah berganda menerusi tajaan ASPIRE Seberang Perai khusus kepada pembayar cukai yang membuat pembayaran penuh menggunakan aplikasi ASPIRE Seberang Perai, ASPIRE Web Portal atau ASPIRE Smart Cashless Kiosk.
Tiga hadiah khas berupa jongkong emas seberat tiga gram, dua gram dan satu gram disediakan untuk dimenangi.
Cabutan bertuah bagi promosi berkenaan dijangka diadakan pada penghujung Mac atau April 2027.
Sehubungan itu, MBSP menyeru semua pemilik pegangan agar mengambil peluang yang ditawarkan dengan menjelaskan cukai taksiran masing-masing sebelum 28 Februari 2027 bagi melayakkan diri menyertai cabutan bertuah berkenaan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian bantuan cukai taksiran MBSP di 04-549 7470, 04-549 7471, 04-549 7697 atau 04-549 7696, atau menerusi e-mel [email protected].
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN