MPKK perlu lebih proaktif, manfaatkan Geran Transformasi Komuniti Penang2030

Admin
494372a2 1850 40b2 a5eb aeeff8b7bfba SEKALIAN peserta sesi pertama Bengkel Pelaksanaan Inisiatif Geran Transformasi Komuniti Pulau Pinang di bawah Aspirasi Penang2030 Bersama MPKK di sini merakamkan gambar kenang-kenangan tadi.

TANJUNG BUNGA – Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diseru supaya melangkaui peranan tradisional sebagai penganjur program komuniti dan tampil sebagai pemimpin akar umbi yang berupaya mencetuskan perubahan serta menyelesaikan pelbagai isu setempat menerusi Inisiatif Geran Transformasi Komuniti Pulau Pinang di bawah Aspirasi Penang2030.

15f37510 9b3f 4cbb b5a2 7736adefd0e2
GOH Choon Aik

Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata bahawa MPKK memainkan peranan penting sebagai ‘mata dan telinga’ Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan, selain menjadi jambatan dalam menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan kepada masyarakat setempat.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun berharap pelaksanaan Inisiatif Geran Transformasi Komuniti Pulau Pinang di bawah Aspirasi Penang2030 dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh MPKK terpilih untuk merancang serta melaksanakan projek atau program yang mampu memberikan impak tinggi kepada komuniti di kawasan masing-masing.

“Kali ini, kita beri peluang kepada MPKK sendiri untuk mencadangkan program atau projek yang pada pendapat anda akan membawa manfaat kepada kejiranan dan komuniti.

“Saya berharap MPKK yang terpilih merebut peluang ini untuk duduk berbincang bersama ADUN kawasan, Pegawai Penyelaras KADUN (PPK), dan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing,” katanya ketika berucap pada Bengkel Pelaksanaan Inisiatif Geran Transformasi Komuniti Pulau Pinang di bawah Aspirasi Penang2030 di sini hari ini.

Hadir sama, ADUN Kebun Bunga, Lee Boon Heng; Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr. K. Vishanthini; Ketua Unit Penang2030 di Pejabat Ketua Menteri, Teh Yee Teng; Pengarah Think City, Dato’ Hamdan Abdul Majeed; Pengarah Kanan Program Think City, Dr. Matt Benson; Pengarah Teknikal Think City, Stuart MacDonald; serta Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ooi Mei Mei.

 

a4027de7 b1d9 4af8 82ce 1b49c7e98427
K. Vishanthini

Mengulas lanjut, Choon Aik menegaskan bahawa setiap projek yang dicadangkan perlu berupaya menyelesaikan masalah setempat yang telah lama berlarutan, selain meninggalkan kesan positif yang berkekalan kepada penduduk.

Menurut beliau, pendekatan sedemikian bukan sahaja mampu meningkatkan kesejahteraan komuniti, malah memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap usaha dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Malah, beliau secara terbuka menyatakan bahawa keberkesanan program yang dilaksanakan pada peringkat akar umbi amat penting dalam memberikan ‘pulangan’ sokongan politik dan undi kepada kerajaan sedia ada.

Dalam pada itu, Choon Aik turut merakamkan penghargaan kepada Unit Penang2030 di bawah Pejabat Ketua Menteri serta pakar-pakar daripada Think City yang meluangkan masa untuk menyertai bengkel berkenaan meskipun diadakan pada hujung minggu.

Sebagai galakan tambahan, beliau turut menyatakan hasrat untuk menyediakan bantuan peruntukan tambahan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Perpaduan Masyarakat kepada MPKK yang menyertai program tersebut sekiranya terdapat baki peruntukan pada masa hadapan.

Difahamkan, seramai 13 MPKK dari bahagian Pulau menyertai sesi sulung Bengkel Pelaksanaan Inisiatif Geran Transformasi Komuniti Pulau Pinang di bawah Aspirasi Penang2030 yang berlangsung sejak pagi tadi.

Program tersebut akan diteruskan menerusi sesi kedua yang melibatkan baki 16 MPKK terpilih dari bahagian Seberang Perai dalam masa terdekat.

Sesi perbincangan pada hari ini secara umumnya memfokuskan kepada tiga isu utama, iaitu keperluan program dan kemudahan untuk warga emas di kawasan Komtar bagi menangani cabaran masyarakat menua, isu banjir berulang yang semakin dipengaruhi oleh perubahan iklim, serta infrastruktur sedia ada yang semakin uzur dan tidak lagi mampu memenuhi keperluan semasa komuniti setempat.

Bengkel tersebut bertujuan membantu MPKK mengenal pasti cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat di kawasan masing-masing serta merangka cadangan projek yang praktikal, berimpak tinggi dan sejajar dengan Aspirasi Penang2030 ke arah mewujudkan komuniti yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: LAW SUUN TING