Naik taraf kawasan lapang Taman Mangga bukti komitmen Kerajaan Negeri tingkat kualiti hidup rakyat

Admin
img 20260710 wa0045

BUKIT TENGAH – Projek Naik Taraf Kawasan Lapang Taman Mangga yang siap dilaksanakan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menjadi bukti komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menyediakan ruang awam yang lebih berkualiti, selamat dan inklusif demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kejayaan merealisasikan projek tersebut membuktikan bahawa pembangunan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat hanya dapat dicapai menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil rakyat serta komuniti setempat.

“Apabila semua pihak bergerak seiring, hasil pembangunan akan menjadi lebih inklusif serta memenuhi keperluan masyarakat.

“Kerajaan Negeri percaya bahawa pembangunan tidak seharusnya hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi atau projek berskala besar, sebaliknya kejayaan sebenar ialah apabila setiap pembangunan mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Sebab itu penyediaan kawasan lapang, taman rekreasi dan ruang awam yang berkualiti terus menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri,” katanya ketika merasmikan Projek Naik Taraf Kawasan Lapang Taman Mangga dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor serta barisan Ahli Majlis bagi MBSP; Pengarah Jabatan Landskap MBSP, LAr. Shaqhrony Md. Yusoff@Jamaludin; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Mangga, R. Vicneshwaran dan barisan MPKK kawasan.

img 20260710 wa0049img 20260710 wa0051img 20260710 wa0039

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa projek naik taraf tersebut melibatkan kawasan seluas 4,164.511 meter persegi dengan kos keseluruhan RM194,457, dan berjaya disiapkan dalam tempoh 10 minggu.

“Kemudahan ini dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk Taman Mangga, malah turut dinikmati komuniti di sekitarnya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

Pada masa sama, Kon Yeow menegaskan bahawa sesebuah bandar maju bukan hanya dinilai menerusi pembangunan fizikal seperti bangunan pencakar langit, sebaliknya melalui penyediaan ruang awam yang membolehkan masyarakat berkumpul, beriadah dan mengeratkan hubungan kejiranan.

“Justeru, ruang rekreasi yang kondusif mampu menggalakkan gaya hidup sihat, memperkukuh perpaduan komuniti serta mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni,” ulasnya lanjut.

Tambah beliau, MBSP kini menguruskan kira-kira 700 taman perumahan yang masing-masing mempunyai kawasan lapang untuk diselenggara dan dinaik taraf sebagai lokasi rekreasi masyarakat.

“Sudah tentu bukan mudah untuk MBSP menyempurnakan kerja-kerja naik taraf di semua 700 taman perumahan.

“Justeru, perkara ini perlu diberi perhatian sejak pada peringkat perancangan pembangunan dan penyediaan taman awam telah dimasukkan sebagai salah satu syarat dalam proses kelulusan kebenaran merancang di Seberang Perai,” katanya.

img 20260710 wa0043img 20260710 wa0048img 20260710 wa0021

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leong, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP serta Jawatankuasa MPKK Taman Mangga yang bersama-sama memperjuangkan keperluan komuniti sehingga projek berkenaan berjaya direalisasikan.

Pada masa sama, Kon Yeow menghargai usaha MBSP yang terus menyediakan kemudahan awam berkualiti walaupun melibatkan kos yang sederhana, namun memberi impak besar kepada kesejahteraan komuniti.

Sementara itu, Baderul Amin memberitahu bahawa projek menaik taraf tersebut merangkumi pelbagai kemudahan baharu bagi memastikan kawasan lapang berkenaan lebih selesa, selamat dan mesra pengguna.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa kemudahan yang disediakan termasuk laluan pejalan kaki, sistem saliran bawah tanah, taman permainan kanak-kanak, peralatan senaman, dataran kejat, earth mound bersama terowong konkrit, bangku taman, tong sampah, papan tanda serta kerja-kerja landskap dan penanaman rumput.

“Projek ini bukan sekadar menggantikan kemudahan yang telah rosak, tetapi juga menghidupkan semula sebuah ruang komuniti yang lebih selamat, ceria dan mesra pengguna.

“Saya berharap taman ini menjadi lokasi masyarakat beriadah, keluarga meluangkan masa bersama serta mengeratkan hubungan silaturahim.

“Apabila ruang awam dimanfaatkan dengan baik, ia bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah mampu menyatukan masyarakat,” katanya.

Baderul Amin turut menyeru penduduk supaya bersama-sama memelihara segala kemudahan yang disediakan dengan mengelakkan perbuatan vandalisme, menjaga kebersihan serta menyemai rasa tanggungjawab terhadap harta awam agar manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa kira-kira 70 kawasan lapang di taman-taman perumahan sedia ada di bawah pentadbiran MBSP telah berjaya dinaik taraf sepanjang tiga tahun kebelakangan ini.

“Projek menaik taraf kawasan lapang akan terus dilaksanakan secara berperingkat dari semasa ke semasa bagi menyediakan lebih banyak ruang rekreasi yang berkualiti kepada komuniti,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar: MUHAMAMD IQBAL HAMDAN
Video: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS