PBAPP perketat SOP operasi elak limpahan enap cemar berulang

Admin
tkm1103i

GEORGE TOWN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak mengeluarkan sebarang kompaun berhubung insiden limpahan enap cemar di Loji Rawatan Air Sungai Dua pada 21 April 2026.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, JAS sebaliknya telah mengeluarkan Notis Arahan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi memastikan tindakan pembendungan dan pembersihan dilaksanakan dengar sewajarnya.

Menurutnya, notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 31 (Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974) itu mengarahkan PBAPP mengambil tindakan berkaitan selewat-lewatnya pada 26 September 2026.

“PBAPP telah menyelesaikan kerja-kerja kawalan dan pembersihan pada 30 April 2026, sebelum mengemukakan maklum balas rasmi kepada JAS pada 25 September 2026.

“Laporan bergambar mengenai tindakan pembetulan juga telah diterima oleh JAS Pulau Pinang pada 29 September 2026.

“Selain itu, PBAPP turut mengeluarkan surat amaran rasmi kepada operator loji, Alam Aliran Kualiti (M) Sdn. Bhd. (AAK), serta mengarahkan penambahbaikan terhadap kawalan operasi, pemantauan dan pelaporan insiden bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhammad Fauzi Yusoff pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Yang Kelima Belas dekat sini hari ini.

Mengulas mengenai punca kejadian, Zairil berkata, limpahan berlaku akibat tangki takungan enap cemar di Sungai Dua Dewatering Plant (SDDP) melimpah ketika ujian operasi susulan gangguan pam, bukannya pelepasan terancang ke tali air Kampung Petani.

Jelasnya, kejadian tersebut berlaku ketika simulasi atau ujian operasi susulan gangguan pam di tapak, menyebabkan air yang mengandungi pepejal terampai dan enap cemar mengalir ke tali air berhampiran.

“Susulan insiden itu, pemeriksaan bersama ADUN Sungai Dua, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), JAS serta PBAPP telah dijalankan pada 22 April 2026 bagi menilai keadaan di lokasi terjejas.

“PBAPP telah melaksanakan beberapa tindakan pembetulan termasuk menghentikan limpahan, membendung kawasan terjejas, menjalankan kerja pembersihan serta menutup laluan keluar yang terlibat bagi mengelakkan pelepasan enap cemar selanjutnya.

“Pemantauan terhadap operasi loji dan aktiviti kontraktor turut dipertingkatkan, manakala sebarang simulasi atau ujian operasi yang berpotensi menyebabkan pelepasan ke persekitaran perlu dimaklumkan dan mendapat kelulusan PBAPP terlebih dahulu,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, menurut Zairil, operator loji AAK sedang melaksanakan pembinaan kolam simpanan tambahan bagi meningkatkan kapasiti takungan dan mengurangkan risiko kejadian limpahan berulang, yang dijangka siap pada 31 Oktober 2026.

“Bagi langkah mitigasi jangka panjang, pembinaan kolam takungan kedua turut dikenal pasti bagi meningkatkan kapasiti simpanan kecemasan serta keupayaan sistem mengendalikan lebihan aliran enap cemar ketika berlaku gangguan operasi.

“Bagaimanapun, pelaksanaan projek tersebut memerlukan pengambilan tanah serta penyelarasan dan penyelesaian urusan berkaitan sebelum kerja pembinaan dapat dimulakan,” ujarnya.

Menjawab persoalan mengenai pampasan kepada penduduk yang terjejas, Zairil berkata bahawa sebarang tuntutan kerosakan atau gangguan perlu dikemukakan bersama maklumat dan bukti sokongan lengkap untuk membolehkan siasatan serta penilaian dijalankan.

“Penentuan tanggungjawab dan pertimbangan pembayaran pampasan, sekiranya berkenaan, akan dibuat berdasarkan hasil siasatan, penilaian tuntutan, tanggungjawab pihak yang dikenal pasti serta peruntukan kontrak dan undang-undang yang berkuat kuasa,” tambahnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD