GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan beberapa penambahbaikan terhadap Undang-Undang Kecil Tempat Inap Persendirian (UKK TIP) 2026, termasuk penyusunan semula kadar fi dan peningkatan had maksimum bilik bagi memberi ruang kepada pengusaha menjalankan operasi secara lebih teratur.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, pindaan berkenaan telah diluluskan menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bilangan 30/2026 pada 19 Oktober lalu dan kini dalam proses pewartaan.
Menurutnya, pindaan tersebut dijangka berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027 susulan penelitian terhadap maklum balas yang diterima daripada pengusaha dan pelbagai pihak berkepentingan sepanjang tempoh peralihan pelaksanaan UKK TIP.
Sepanjang tempoh peralihan tersebut, Kerajaan Negeri telah meneliti semula maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan objektif utama pelaksanaan Undang-Undang Kecil Tempat Inap Persendirian dapat dicapai dengan lebih berkesan.
“Susulan penelitian tersebut, Kerajaan Negeri telah meluluskan pindaan yang merangkumi beberapa penambahbaikan, termasuk dari segi fi yang dikenakan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen berhubung tujuan pengenalan UKK TIP memandangkan garis panduan berkaitan telah diperkenalkan sebelum ini serta tindakan Kerajaan Negeri menangani bantahan pengusaha.
Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, UKK TIP yang diwartakan pada 1 Ogos 2026 memberikan punca kuasa perundangan khusus kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengawal selia, memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap operasi TIP yang tidak mematuhi peraturan.
Jelasnya, dua garis panduan pengoperasian TIP bagi skim hartanah berstrata dan skim kediaman bertanah yang diperkenalkan pada 1 April 2023 sebelum ini hanya berfungsi sebagai dokumen rujukan dan panduan pelaksanaan, bukannya punca kuasa perundangan untuk tindakan penguatkuasaan.
“Dengan adanya undang-undang kecil khusus ini, pengoperasian TIP dapat dikawal selia secara lebih teratur dan tersusun, di samping membantu mengimbangi keperluan pembangunan industri pelancongan dengan kepentingan, keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat,” tegas ADUN Jawi itu lagi.
Sehubungan itu, jelasnya, kedua-dua garis panduan 2023 berkenaan tidak lagi terpakai sebagai kerangka kawal selia terdahulu, namun MBPP dan MBSP akan menyediakan garis panduan pengoperasian TIP masing-masing mengikut keperluan serta kesesuaian pentadbiran, selagi tidak bercanggah dengan peruntukan UKK TIP 2026.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri turut bersetuju memperluaskan pelaksanaan TIP ke kawasan Tapak Warisan Dunia George Town susulan mesyuarat bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), PLANMalaysia dan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) pada 28 September lalu.
Menurut Mooi Lye, MBPP kini dalam proses menyediakan garis panduan khusus TIP, termasuk penetapan peratusan atau nisbah pengoperasian yang dibenarkan dengan mengambil kira dasar perancangan serta keperluan pemuliharaan warisan.
“Penyediaan garis panduan tersebut akan diselaraskan dengan zon aktiviti, kelas kegunaan tanah dan bangunan serta keperluan pemuliharaan warisan.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan pelaksanaan TIP secara terkawal, di samping mengekalkan fungsi kediaman, memelihara Nilai Keunggulan Sejagat (OUV) tapak warisan dan menjaga kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon mengenai jumlah pendaftaran TIP di Seberang Perai, beliau memaklumkan hanya satu pendaftaran direkodkan sejak garis panduan diperkenalkan pada 2023.
Sebelum UKK TIP berkuat kuasa, Kerajaan Negeri tidak mempunyai maklumat lengkap serta punca kuasa untuk mengambil tindakan terhadap operasi TIP yang tidak berdaftar, ketika itu hanya boleh memberikan nasihat.
“Maka, dengan adanya UKK ini, PBT mempunyai punca kuasa untuk mengenakan saman kepada pengusaha atau pemilik rumah sekiranya menerima aduan daripada penduduk,” katanya.
Beliau percaya lebih ramai pengusaha TIP akan mula mengemukakan permohonan pada tahun hadapan, sekali gus membolehkan Kerajaan Negeri mengawal selia aktiviti penginapan persendirian dengan lebih tersusun.
Tegas Mooi Lye lagi, walaupun menjadi alternatif kepada penginapan hotel dan menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan negeri, operasi TIP yang tidak terkawal boleh menimbulkan isu seperti pencemaran bunyi, kesesakan lalu lintas, masalah sosial serta peningkatan kos penyelenggaraan kemudahan bersama bagi hartanah strata.
Untuk rekod, pengoperasian TIP merujuk kepada aktiviti penyediaan penginapan jangka pendek oleh pemilik rumah atau operator, sama ada secara langsung atau menerusi platform penyedia perkhidmatan penginapan, dengan mengenakan bayaran kepada pengguna.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: DARWINA MOHD. DAUD