GEORGE TOWN – Pulau Pinang terus mencatat prestasi pelaburan memberangsangkan apabila merekodkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM32.9 bilion bagi tahun 2025.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, aliran masuk pelaburan tersebut dipacu oleh kekuatan ekosistem industri sedia ada khususnya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta peranti perubatan.
Menurut beliau, faktor seperti ketersediaan tenaga kerja mahir, kemudahan infrastruktur serta kedudukan strategik Pulau Pinang dalam rantaian bekalan global turut meningkatkan keyakinan pelabur asing dan domestik.
“Berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang turut merekodkan nilai eksport sebanyak RM573 bilion manakala nilai import berjumlah RM382 bilion melalui Pelabuhan Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bagi tahun 2025.
“Prestasi ini mencerminkan peranan Pulau Pinang sebagai nod penting dalam rantaian bekalan serantau dan global khususnya melibatkan barangan berteknologi tinggi dan bernilai tambah,” ujarnya ketika menjawab Soalan Lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong pada Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini.
Mengulas mengenai soalan tambahan, Kon Yeow turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada pelabur dan industri yang mampu mengukuhkan ekosistem sedia ada serta membawa nilai teknologi tinggi kepada negeri.
“Dalam mempertimbangkan pelaburan baharu, aspek penggunaan tanah, air, tenaga kerja dan sumber lain turut diambil kira bagi memastikan pembangunan yang lebih mampan dan seimbang.
“Bagi industri yang kurang memberi nilai tambah kepada ekosistem negeri, mereka digalakkan mempertimbangkan lokasi di negeri berhampiran yang mempunyai keluasan tanah lebih besar,” ujarnya yang juga merupakan ADUN Padang Kota.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa pengusaha perindustrian swasta turut memainkan peranan penting dalam menyediakan alternatif penempatan industri terhadap kawasan perindustrian sedia ada di Pulau Pinang.
“Permintaan terhadap kawasan industri masih tinggi khususnya daripada syarikat yang mahu meningkatkan kapasiti pengeluaran susulan pertambahan pesanan global.
“Pada masa sama, perubahan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan (cloud computing) serta ketidaktentuan geopolitik global turut memberi cabaran kepada sektor pelaburan semasa.
“Namun begitu, Pulau Pinang masih mempunyai ‘niche sector’ yang kukuh dan berdaya saing sekali gus membolehkan negeri ini terus kekal relevan sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini,” jelasnya lanjut.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN