GEORGE TOWN – Berdasarkan data daripada Penang Centre of Medical Tourism (PMED), jumlah pesakit warga asing yang mendapatkan rawatan di Pulau Pinang pada tahun 2024 adalah seramai 418,608 orang dengan pendapatan dijana sebanyak RM898,070,127.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, data tersebut melibatkan 16 hospital swasta di negeri ini.
“Bagi tahun 2025, bilangan pesakit warga asing meningkat kepada 527,176 orang, iaitu peningkatan sebanyak 25.94 peratus, dengan janaan pendapatan mencecah RM1,136,924,434, meningkat 26.60 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pagi tadi.
Mengulas strategi bagi merancakkan sektor pelancongan perubatan, Hon Wai berkata bahawa Malaysia Year of Medical Tourism (MYMT) 2026 bekerjasama dengan syarikat penerbangan bagi membawa masuk lebih ramai pelancong perubatan dari rantau ini.
Katanya, antara inisiatif dilaksanakan termasuk kerjasama bersama AirAsia menerusi program Boarding Pass Privileges.
“Penumpang yang mempunyai pas masuk (boarding pass) dari luar Malaysia boleh menikmati diskaun sebanyak 15 peratus bagi pakej pemeriksaan kesihatan sekiranya mereka memegang pasport asing.
“Program ini berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2025 hingga 31 Disember 2026,” jelasnya.
Menurut beliau, kemudahan pembayaran turut dipertingkat menerusi penawaran pembayaran dalam mata wang negara asal pesakit seperti Rupiah Indonesia menggunakan kod Quick Response Indonesian Standard (QRIS).
“Melalui kemudahan ini, jumlah bayaran dipaparkan dalam Rupiah dan pesakit tidak perlu membuat pengiraan kadar pertukaran mata wang,” katanya lagi.
Tambah Hon Wai yang juga ADUN Paya Terubong, akses penerbangan ke destinasi yang mempunyai permintaan tinggi terhadap pelancongan perubatan turut diperkukuh, termasuk bandar-bandar seperti Medan, Aceh, Jakarta dan Surabaya di Indonesia, selain Yangon di Myanmar serta beberapa negara ASEAN dan Asia Timur.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: SIEW CHIA EN