Penerbangan terus Batam-Pulau Pinang perkukuh hubungan pelancongan dua hala

Admin
b58312e1 39e6 437c a7c1 e4b4d8ed4054

BAYAN LEPAS – Pembukaan laluan penerbangan terus antara Batam, Indonesia dengan Pulau Pinang menerusi Batik Air membuka peluang baharu untuk memperkukuh hubungan pelancongan, perniagaan dan penjagaan kesihatan antara kedua-dua destinasi.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, laluan baharu itu turut memperluas rangkaian penerbangan terus Pulau Pinang ke Indonesia, menjadikan Batam sebagai bandar kelima selepas Jakarta, Surabaya, Banda Aceh dan Medan.

“Laluan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara masyarakat kita, malah membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, perniagaan, penjagaan kesihatan dan kunjungan keluarga antara Pulau Pinang dengan Kepulauan Riau.

“Perkhidmatan penerbangan terus berkenaan beroperasi tiga kali seminggu iaitu pada setiap Rabu, Jumaat dan Ahad, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada pengunjung dari Batam dan kawasan sekitarnya,” ujarnya ketika berucap pada majlis berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 18 Oktober 2026.

054fdf49 132d 4054 90d6 fa6f44da9a8196f6d814 bdaa 49b6 a869 1e0bc2fb104e8989b235 1b0f 4227 9f9a d376e0767eb5
Mengulas lanjut, Hon Wai turut menyatakan bahawa Indonesia sejak sekian lama merupakan antara pasaran sumber utama pelancong antarabangsa ke Pulau Pinang, selain menduduki tempat pertama dari segi kekerapan penerbangan terus ke negeri ini.

“Penambahan laluan Batam membolehkan (Pulau Pinang) memperluas jangkauan ke Kepulauan Riau, khususnya dalam meneroka potensi pasaran pelancongan santai, perubatan dan perniagaan.

“Penerbangan terus ini turut menyediakan kemudahan perjalanan yang lebih baik, namun usaha seterusnya perlu memberi tumpuan kepada usaha menterjemahkan minat pengunjung kepada tempahan, membangunkan pakej pelancongan yang menarik serta menggalakkan kunjungan berulang.

“Justeru, melalui kerjasama erat dengan syarikat penerbangan, pengendali pelancongan, sektor perhotelan dan penyedia perkhidmatan kesihatan, kita dapat memastikan laluan ini memberikan manfaat berterusan kepada kedua-dua destinasi,” jelasnya lanjut.

Dalam pada itu, Hon Wai turut memaklumkan bahawa beliau telah mengetuai delegasi Pulau Pinang ke Batam minggu lalu bagi mempromosikan tarikan pelancongan negeri serta meneroka peluang menarik lebih ramai pengunjung dari Kepulauan Riau.

Jelas Hon Wai, pelaksanaan siri promosi berkenaan dan pengenalan penerbangan terus itu merupakan usaha yang saling melengkapi dalam meningkatkan keterlihatan Pulau Pinang di pasaran Indonesia serta memudahkan pengunjung menikmati pelbagai tarikan yang ditawarkan.

Selain sektor perubatan, Hon Wai turut menggalakkan pengunjung dari Indonesia menerokai kepelbagaian tarikan negeri ini, termasuk Tapak Warisan Dunia UNESCO di George Town, warisan seni bina dan budaya, kepelbagaian makanan serta keindahan alam semula jadi di Bukit Bendera dan kawasan pesisir pantai.

Menurut beliau, perkhidmatan penerbangan sulung itu juga menyokong usaha promosi pelancongan Pulau Pinang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2027.

“Jaringan penerbangan yang kukuh amat penting kerana ia memudahkan akses ke destinasi, memberikan lebih banyak pilihan kepada pengunjung serta membantu pengusaha pelancongan menembusi pasaran baharu,” tambahnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : PEJABAT EXCO