Langkah drastik susulan kos minyak menekan sektor agroteknologi dan keterjaminan makanan negeri – Exco

Admin
a0c0dcab 8594 481d a0a8 2176cafdff52

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini mengakui sektor agroteknologi dan keterjaminan makanan di Pulau Pinang kini berdepan cabaran getir susulan kenaikan kos bahan bakar (diesel dan petrol) yang dijangka melonjakkan kos operasi jentera pertanian sehingga 40 peratus.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol dalam ucapan penggulungannya menegaskan, kegusaran yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkaitan tekanan kos minyak ini sedang diberi perhatian serius melalui mekanisme bantuan bersasar dan pengukuhan insentif.

Rashidi yang juga ADUN Sungai Acheh mendedahkan bahawa kenaikan harga diesel memang memberi impak langsung kepada penggunaan traktor, jentuai dan pam air negeri.

“Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan pemberian bantuan khusus kepada pesawah dan penternak yang terkesan.

“Kita mahu pastikan setiap bantuan benar-benar sampai kepada golongan sasaran bagi mengurangkan beban kos operasi agar pengeluaran makanan tempatan kekal stabil,” katanya kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Azrul Mahathir Aziz di sini pada 14 Mei 2026.

Tambah Rashidi, salah satu strategik utama negeri bagi membantu mereka yang terjejas kenaikkan kos pertanian adalah kadar Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 per hektar bagi setiap musim berkuat kuasa Musim 1/2026.

Selain itu, beliau memberitahu ahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju membayar RM200 secara pendahuluan daripada jumlah bantuan tersebut, yang bakal memanfaatkan hampir 5,600 pesawah berdaftar di Pulau Pinang.

“Bagi mengelakkan manipulasi harga oleh pihak swasta, Pertubuhan Peladang Negeri Pulau Pinang (PPNJ) akan memperkukuh pengurusan jentera pembajak dan penuaian sendiri untuk memastikan kadar sewaan kekal munasabah,” jelasnya.

Di sebalik cabaran kos minyak, Rashidi menjelaskan bahawa sektor agromakanan negeri menerima suntikan moral apabila Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyalurkan peruntukan berjumlah RM6.9 jutavbagi Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) 2026.

“Sebanyak sembilan projek utama melibatkan sektor padi, nanas dan akuakultur telah diluluskan, yang mana secara keseluruhan, Jabatan Pertanian Negeri menguruskan dana berjumlah RM12.097 juta pada tahun ini bagi memacu pembangunan sektor tersebut,” ujarnya.

Menjawab persoalan mengenai peranan Penang Agrotech Sdn. Bhd. (PASB) pula, Rashidi menegaskan bahawa tiada pertindihan fungsi berlaku dengan agensi sedia ada.

“PASB bertindak sebagai agensi koordinasi dan operator komersial, termasuk projek Penang Durian Valley@Relau yang dijangka siap pada 2027,” katanya.

Di samping itu, beliau turut berkongsi kejayaan Beras Cap Feri yang mendapat sambutan luar biasa dengan sejumlah 14,854 kampit terjual pada tahun 2025, dan 9,913 kampit terjual sehingga April tahun ini.

“Inisiatif Perkongsian Awam Swasta (PPP) ini terbukti berjaya menampung keperluan beras putih pada harga kompetitif tanpa melibatkan peruntukan langsung Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN